Iklan

DAP perlu menang semua kerusi agar PH rampas Johor, kata Kit Siang

Khoo Gek San3 years ago6th Mar 2022Berita
51918945021 272dbd1a6f o
Veteran DAP Lim Kit Siang berkata antara cabaran partinya di Johor seperti perkongsian berita palsu dan stereotaip negatif, selain memerlukan peratusan tinggi agar DAP dan Pakatan Harapan bersama Muda dapat membentuk kerajaan negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Mac, 2022.
Iklan

DAP perlu memenangi semua kerusinya di bawah konsep khemah besar pembangkang jika Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya, Muda mahu membentuk kerajaan negeri, kata Lim Kit Siang.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata penting bagi DAP untuk kekalkan 14 kerusinya jika PH mahu merampas kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno.

Veteran DAP itu berkata parti PH bertanding di semua 56 kerusi negeri, dan DAP berpeluang mengekalkan semua 14 kerusi di mana calonnya berada.

Kerusi-kerusi itu ialah: Perling, Skudai, Tangkak, Paloh, Mengkibol, Penggaram, Stulang, Johor Jaya, Bekok, Bentayan, Pekan Nanas, Senai, Yong Peng dan Jementah.

Parti itu juga menang semua kerusi ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Sekutu DAP, Amanah dan PKR masing-masing bertanding 16 dan 20 kerusi.

Muda, yang bukan dalam gabungan PH, bersekutu dengan DAP dan Amanah, bertanding di tujuh kerusi. Bagaimanapun, Mudan dan PKR bertembung di kerusi Larkin.

Berhati-hati dan dalam masa sama optimis PH dan Muda boleh menang 30 kerusi, Lim berkata prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan untuk membendung penularan pandemik Covid-19 menyukarkan parti pembangkang untuk berkempen.

Beliau juga bimbang peratusan keluar mengundi rendah seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak tahun lepas.

“Kami bimbang. Pilihan raya Johor ini adalah PRN paling sejuk, tiada demam tiada panas,” katanya.

“Calon tidak digalakkan mengadakan ceramah.”

Lim berkata peratusan keluar mengundi yang rendah hanya akan memberi kelebihan kepada Umno.

“Mereka mahu menang PRN Johor supaya mereka boleh paksa untuk adakan PRU secepat mungkin untuk gugurkan pertuduhan rasuah kluster Umno dan membawa kembali bekas perdana menteri Najib Razak,” kata Lim.

Beliau akui PH terpaksa mendekati pengundi secara langsung bagi menjelaskan tentang Langkah Sheraton yang menggulingkan kerajaan persekutuan PH pada 2020, selepas 22 bulan memerintah.

“Kerajaan PH dilihat sebagai kerajaan yang gagal kerana tidak menunaikan banyak janji pilihan raya.

“Tetapi PH perlu jelaskan janji pilihan raya boleh mengambil masa lebih lima tahun untuk dilaksanakan, bukan dalam 22 bulan.

Beliau berkata PRU 2018 yang membawa PH ke Putrajaya telah menjadi permulaan kepada perubahan dan pembaharuan.

“Tetapi bagaimana kita hendak tunaikan janji pilihan raya yang dimaksudkan untuk tempoh lima tahun dalam 22 bulan?” kata Lim.

Berita palsu dan “stereotaip negatif” yang dilukiskan mengenai DAP juga merupakan cabaran lain yang dihadapi PH dalam pilihan raya Johor, tambahnya.

Salah satu perkara yang dihadapi DAP di Johor ialah dakwaan parti itu tidak menjaga kepentingan kaum Cina berikutan keputusan kerajaan PH sebelum ini memperkenalkan pengajaran khat di sekolah vernakular.

Namun, Lim berharap pengundi Johor tidak berputus asa dengan PH, menekankan yang Najib boleh kembali berkuasa.

“Ini hanya akan menjadikan Malaysia sebagai bahan ketawa antarabangsa kerana memaafkan kleptokrasi,” katanya.

Seramai 239 calon akan bertanding di 56 kerusi DUN yang kebanyakannya terlibat dalam pertembungan pelbagai penjuru.

Sebanyak 35 kerusi akan berhadapan pertempuran sengit empat penjuru. – 6 Mac, 2022.

Iklan
Iklan