Iklan

Benarkan kami cari MH370, pakar desak kerajaan Malaysia

Elill Easwaran3 years ago6th Mar 2022Berita
49930752961 ef6e32d43a b
Pesawat MH370 yang membawa 239 orang penumpang dan kru hilang pada 8 Mac 2014 ketika menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2022.
Iklan

PAKAR dari firma penerokaan swasta Ocean Infinity dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menggesa Putrajaya membenarkan mereka mencari pesawat MH370 yang hilang ketika ulang tahun kelapannya semakin hampir pada Selasa.

Ketua pegawai eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett berkata, mereka sudah melihat semua data daripada operasi pencarian sebelumnya dan bahan baharu daripada jurutera aeroangkasa British Richard Godfrey serta kumpulan bebas.

Godfrey mendakwa bulan lalu beliau mempunyai petunjuk baharu mengenai kedudukan pesawat itu terhempas.

“Kami melihat perkara ini setiap hari. Pandangan kami terhadap kerja yang dilakukan oleh mereka boleh dipercayai dan patut diberi tumpuan. Buat pertama kalinya kami mendapat kejelasan untuk mencari pesawat yang hilang itu,” katanya dalam ucapannya.

Beliau juga berkata, syarikat itu sedang membina 75 kapal kawalan jarak jauh untuk tinjauan di lautan dan salah satu daripadanya akan digunakan untuk pencarian.

“Kami bersedia untuk melakukannya dengan dasar tanpa bayaran jika tidak ditemui,” kata Oliver.

Syarikat itu sudah melakukan pencarian terhadap pesawat itu tetapi usahanya berakhir pada 2018 selepas Putrajaya tidak memperbaharui perjanjian dengan mereka.

Pencarian awal yang diketuai Australia tidak lama selepas pesawat itu hilang - yang terbesar dalam sejarah penerbangan - menjelajah 120,000 kilometer persegi (46,000 batu persegi) jauh dari pantai barat benua pulau itu selama 28 bulan tetapi tidak menemui sebarang kesan pesawat dan pencarian itu ditamatkan pada Januari lalu.

MH370 yang membawa 239 orang penumpang dan kru hilang pada 8 Mac 2014 ketika menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur.

Pencarian selama empat tahun menelan belanja AS$200 juta (RM820 juta) dijalankan tetapi pesawat itu masih tidak ditemui.

Peter Foley, pengarah operasi ATSB bagi pencarian MH370 berkata, pegawai menamatkan pencarian itu lebih awal.

“Setiap orang dalam pasukan mencari tidak berpuas hati apabila pihak berkuasa memberitahu mereka untuk menghentikan pencarian pesawat yang hilang itu,” katanya dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Beliau berkata, mencari MH370 sangat penting terutamanya untuk mengetahui bagaimana penerbangan itu berakhir sekali gus menggariskan aturan keselamatan baharu untuk syarikat penerbangan komersial pada masa hadapan.

Menurutnya, pencarian selama 100 hari pasti menjamin kejayaan untuk mencari pesawat yang hilang itu.

“Selain kajian Richard, akan ada jawapan yang pasti buat 239 keluarga yang mencari jawapannya selama lapan tahun.

“Tiada juga risiko kepada kerajaan Malaysia jika mereka bersetuju untuk memulakan pencarian semula kerana ia atas dasar tiada sebarang bayaran jika tiada penemuan,” kata Foley.

Foley berkata, beliau mungkin mengecilkan kawasan pencarian kepada hanya 300km persegi, yang boleh ditinjau dalam beberapa minggu sahaja. – 6 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan