Iklan

Saingan sengit, calon DAP ada rancangan untuk Yong Peng

Khoo Gek San3 years ago7th Mar 2022Berita
DAP Yong Peng FB 632022
Tee bekas Adun Senai tetapi digerakkan oleh partinya untuk bertanding di Yong Peng bagi PRN Johor 12 Mac ini. – Gambar Facebook, 7 Mac, 2022.
Iklan

ALAN Tee Boon Tsong dari DAP mungkin seorang wakil rakyat penuh pengalaman tetapi beliau pasti dicabar hebat dalam usaha mempertahankan kerusi DUN Yong Peng buat Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Beliau bukan sahaja menghadapi cabaran getir daripada MCA – yang sedang berjuang untuk merampas semula kerusi tradisi mereka itu – tetapi juga memerlukan kehadiran pengundi yang tinggi untuk berpeluang menang.

Sekiranya peratusan keluar mengundi kurang daripada 65% di kawasan itu, peluang beliau menang adalah tipis.

Tee adalah bekas Adun Senai tetapi digerakkan oleh partinya untuk bertanding di Yong Peng bagi PRN kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, DAP memenangi kerusi DUN Yong Peng buat kali pertama apabila calonnya Chew Peck Choo menewaskan calon Barisan Nasional dari MCA Ling Tian Soon dan Muhammad Abdullah daripada PAS dengan majoriti 5,089 undi.

“Menurut statistik tidak rasmi, setiap isi rumah di Yong Peng mempunyai sekurang-kurangnya satu hingga dua ahli keluarga yang bekerja di Singapura. Ini adalah kira-kira 3,000 orang, tetapi mengikut notis Suruhanjaya Pilihan Raya yang dihantar ke luar negara, kali ini Yong Peng hanya mempunyai 144 undi.

“Jadi impak terbesar kali ini adalah peratusan keluar mengundi dan undi luar negara. Jika peratusan keluar mengundi pada hari pengundian adalah di bawah 65%, kami tidak akan menang di Yong Peng,” kata Tee kepada The Malaysian Insight.

Pada PRN Johor kali ini, kadar keluar mengundi kaum Cina dianggarkan antara 55% hingga 60%.

Bagi undi Melayu pula, ia bergantung kepada keadaan setiap pusat mengundi. Pada PRU14, dianggarkan setiap pusat mengundi mempunyai antara 22% hingga 25% pengundi Melayu. Bagaimanapun, kali ini dianggarkan hanya 15% daripada mereka akan mengundi Pakatan Harapan.

“Bagi kaum India pula, PH dijangka mendapat 40% sokongan,” katanya.

Beliau berharap undi kaum Cina dapat mencapai antara 67% hingga 68% kali ini. Pada pilihan raya lalu, undi Cina dicatat antara 85% hingga 88%.

“Kali ini jika kadar sokongan orang Cina adalah 67%, kita masih boleh menang dengan margin yang kecil, tetapi ia bukan mudah.”

Beliau dengan berat hati menyatakan ramai orang menggunakan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk tidak keluar mengundi, tetapi di restoran dan pusat membeli-belah ada saja orang yang datang dan pergi.

Tee mengakui ketika sesi bertemu dengan pengundi, beliau mendapati suasana PRN kali ini berbeza daripada yang lain.

Beliau berkata, pengundi berasakan tidak perlu untuk mengadakan pilihan raya ini.

DUN Yong Peng adalah kawasan separa bandar dan luar bandar, dengan hampir 60% pengundi Cina. Pada 2018, jumlah pengundi di daerah itu adalah 24,903. PH memenangi kerusi DUN itu dengan 5,089 undi ketika kadar keluar mengundi dicatat 84.8%.

Selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, jumlah pengundi di Yong Peng meningkat kepada 33,053 orang. Terdapat 2,016 pengundi kali pertama berumur antara 18 dan 20 tahun, menyumbang 6.1%. Pengundi antara 21 dan 29 tahun merupakan bahagian terbesar dengan jumlah 6,918 orang atau 20.93%. – 7 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan