Iklan

Hujan lebat luar biasa punca banjir kilat di KL, kata menteri

Elill Easwaran3 years ago7th Mar 2022Berita
Tuan
Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata rumah pam, siren, kolam takungan dan lencongan banjir telah beroperasi dengan baik mengikut Prosedur Operasi Standard.–Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2022.
Iklan

BANJIR kilat di ibu negara hari ini berpunca daripada hujan lebat luar biasa dalam tempoh dua jam yang mana sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.

“Bacaan yang direkodkan di Stesen Smart Taman Desa, Kuala Lumpur menunjukkan hujan 106.5mm dan Stesen Air Panas, Kuala Lumpur menunjukkan bacaan 155mm dalam tempoh dua jam,” katanya dalam sidang media di pusat kawalan terowong Smart.

Tambahnya, rumah pam, siren, kolam takungan dan lencongan banjir telah beroperasi dengan baik mengikut Prosedur Operasi Standard.

Beliau berkata lencongan terowong Smart diaktifkan pada 3:40 petang, dan dengan tahapnya dinaik taraf pada 3:58 petang dan sekali lagi pada 4:44 petang.

Beliau turut menasihatkan warga KL supaya lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada ketika hujan lebat.

“Jika hujan lebat dan air pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat yang selamat,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau turut menyebut semua projek tebatan banjir di bandar raya ini termasuk di Sungai Bunus dan berhampiran pusat latihan PDRM dijangka siap pada 2024.

“Kami mengalami kelewatan kerana beberapa masalah dengan kontraktor kami sebelum ini,” katanya.

Hujan lebat awal hari ini menyebabkan banjir kilat di beberapa bahagian di ibu kota.

Gambar viral menunjukkan kereta terkandas di jalan raya yang dinaiki air dan paras air meningkat di tempat letak kereta.

Laporan awal menyebut Jalan Kuchai Lama terjejas teruk, dengan beberapa jalan terputus akibat kenaikan air. Jalan Pinang turut dinaiki air.

Antara kawasan yang terjejas ialah terowong Tabung Haji, terowong Jalan Chan Sow Lin, Jalan Pudu, Jalan Pahang, Jalan Sri Permaisuri dan Jalan Tun Razak.

Sehingga jam 4.45 petang, paras air di ibu negara dikategorikan sebagai berbahaya.

Hujan dan ribut petir dijangka berterusan sehingga 10 malam. – 7 Mac, 2022.

Iklan
Iklan