Iklan

Cynthia Gabriel calon tokoh Hari Wanita

Aminah Farid3 years ago8th Mar 2022Berita
Cynthia gabriel 280619 tmiseth 04  full
Pengasas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berharap pencalonannya untuk anugerah International Women of Courage 2022 akan beri inspirasi kepada lebih ramai belia memerangi rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2022.
Iklan

PENGASAS Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel dicalonkan untuk anugerah International Women of Courage 2022 oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur.

Cynthia memberitahu The Malaysian Insight pencalonan itu satu penghormatan buat dirinya dan juga tepat pada masanya kerana kerja membanteras rasuah menjadi sangat mendesak dan mencabar.

“Kami berharap ini akan menjana lebih banyak usaha dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya penyokong muda menyertai perjuangan dan menyelamatkan negara ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini Kedutaan AS berkata anugerah Setiausaha Negara AS itu memberi penghormatan kepada wanita yang menunjukkan keberanian, kekuatan dan kepimpinan luar biasa dalam bertindak untuk memperbaiki kehidupan orang lain.

“Pada Hari Wanita Antarabangsa Kedutaan AS di Kuala Lumpur dengan bangganya memberi penghormatan kepada Cynthia Gabriel sebagai calonnya untuk Anugerah Wanita Keberanian Antarabangsa 2022.

“Cynthia ialah seorang pembela hak asasi manusia utama dan pemimpin anti-rasuah yang menjelaskan pelbagai skandal rasuah.

“Beliau menghabistkan hayat profesionalnya untuk memajukan dan mempromosikan hak asasi manusia, tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang, anti-rasuah dan kebebasan demokrasi dengan menggabungkan pengetahuan saintifik dan undang-undangnya dalam kerja advokasinya,” katanya,

Kedutaan AS berkata anugerah itu adalah usaha untuk menarik perhatian dan sokongan antarabangsa kepada wanita yang bekerja secara gigih untuk memperbaiki komuniti mereka serta memberi inspirasi kepada orang lain.

Setiap tahun misi diplomatik AS mencadangkan seorang wanita yang berani dari negara tuan rumah mereka dan finalis dipilih serta disahkan oleh pegawai kanan Jabatan Negara AS.

Pemenang dan pencalonan terdahulu anugerah di Malaysia termasuk Amiga Sreenivasan, Susanna Liew, Nisha Ayub, Indira Gandi dan Qyira Yusri. – 8 Mac, 2022.

Iklan
Iklan