Iklan

Naik taraf jawatankuasa nilai lantikan hakim, kata Pembela

Diyana Ibrahim3 years ago8th Mar 2022Berita
Aminuddin
Pengerusi Pembela Aminuddin Yahaya mengemukakan memorandum kepada semua majlis agama negeri hari ini ekoran perkembangan beberapa isu yang didakwanya tidak memihak kepada agama Islam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2022.
Iklan

JAWATANKUASA menilai pelantikan hakim perlu dinaik taraf bagi memartabat institusi perundangan Islam dan kedudukan perundangan syariah, tegas Pertubuhan Pembela Islam (Pembela).

Ia bagi memastikan hakim yang dilantik bukan sahaja perlu faham isu sivil tetapi juga perundangan syariah, kata NGO itu dalam memorandum kepada semua majlis agama negeri hari ini.

Memorandum itu dikemukakan ekoran perkembangan beberapa isu yang didakwanya tidak memihak kepada agama Islam, kata pengerusinya Aminuddin Yahaya dalam sidang media.

Oleh itu, jawatankuasa teknikal pelantikan hakim perlu dinaik taraf sebagai sebuah suruhanjaya sepenuh masa yang bebas, tegasnya.

Ini kerana Pembela bimbang kerana banyak keputusan kes mahkamah menghakis kedudukan perundangan syariah, kata Aminuddin dalam sidang media dalam talian itu.

“... (Hakim yang dilantik perlu) faham bukan saja isu sivil tapi isu syarak,” katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut ke pejabat Majlis Agama Islam Selangor hari ini.

Memorandum itu antara lain merujuk satu keputusan Mahkamah Persekutuan pada Februari mengenai sekatan ke atas kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Ia memutuskan, DUN tiada kuasa menggubal undang-undang bagi Mahkamah Tinggi Syariah mendengar semakan kehakiman berhubung keputusan dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Memorandum itu juga merujuk keputusan Mahkamah Tinggi bulan lalu agar tiga beradik muslim dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dipulangkan kepada ibu mereka, Loh Siew Hong.

Pembela juga menuntut perkenan Yang di-Pertuan Agong agar menetapkan Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Melayu sebagai rujukan utama dalam proses kehakiman dan perundangan bagi menggantikan versi bahasa Inggeris.

“Ia sejajar dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan. Ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kekhilafan dalam penafsiran istilah yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Aminuddin.

Turut bercakap, Pengerusi Perkid Malaysia Masridzi Sat yang mendakwa kedudukan agama Islam digugat ekoran kekalahan berturut-turut dalam kes mahkamah berkaitan kedudukan agama Islam.

Beliau mendakwa perkara ini berlaku kerana kedudukan Mahkamah Syariah berada di peringkat bawah sekali berbanding Mahkamah Persekutuan.

“Oleh kerana itu kita melihat berlaku penghakisan kuasa sultan itu sendiri kerana mereka ketua agama negeri.

“Sebab itu kita minta tambah baik atau reformasi institusi. Kalau tidak tinggi seperti mahkamah tinggi atau persekutuan tapi biarlah mahkamah syariah setara,” katanya.

Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil merupakan satu badan bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pelantikan terkini jawatankuasa dengan 10 anggota itu berkuatkuasa mulai 16 Ogos 2020 hingga 15 Ogos 2023 dan ia kini dipengerusikan bekas ketua hakim syarie Sheikh Ghazali Abdul Rahman.

Jawatankuasa itu antara lain bertanggungjawab menyeragam lima undang-undang syariah pada 2001.

Ia antara lain membabitkan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah.

Dua lagi enakmen terlibat Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah.

Badan itu juga bertanggungjawab dalm usaha meminda Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada 1988.

Ia memasukkan Fasal memperuntukkan Mahkamah Tinggi Sivil dan mahkamah di bawahnya tiada bidang kuasa dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.– 8 Mac, 2022.

Iklan
Iklan