Iklan

Sempadan buka, industri pelancongan Sarawak risau kurang pekerja

Desmond Davidson3 years ago11th Mar 2022Berita
49935161937 4cfe4bd482 o
Industri pelancongan Sarawak bimbang lambakan pelancong ke negeri itu mulai April bakal sukar diuruskan susulan kekurangan tenaga pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2022.
Iklan

INDUSTRI pelancongan Sarawak menyambut baik berita pembukaan semula sempadan negara tetapi bakal berdepan kesukaran jika sejumlah besar pelancong tiba di negeri itu nanti.

Industri itu yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19, menyebabkan agensi pelancongan beroperasi dengan jumlah kakitangan sangat terhad, dengan sesetengah yang lain terpaksa gulung tikar dan memberhentikan semua pekerja.

Presiden Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) Audrey Wan Ullok berkata beliau bimbang industri itu mungkin tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk mengendalikan pelancong yang akan tiba bermula 1 April, ketika negara bersedia untuk beralih ke fasa endemik.

STF adalah organisasi yang memayungi syarikat dalam industri pelancongan negeri.

“Tenaga kerja. Itu mungkin menjadi masalah,” kata Wan Ullok.

Beliau berkata ramai tenaga kerja dalam industri pelancongan negeri, termasuk pemandu pelancong berpengalaman, pembantu pelancongan, operator bot, pemandu van dan bas serta mereka yang terbabit dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan – sudah tidak mencukupi lagi.

“Ramai antara mereka yang keluar dari industri ini dan mencari kerja lain,” kata Wan Ullok kepada The Malaysian Insight.

Katanya, keadaan yang terus-terusan tidak menentu bila pandemik akan berakhir, menyebabkan ramai antara mereka khuatir untuk kembali bekerja dalam industri pelancongan.

“Mereka tidak bersedia atau ada juga yang enggan kembali bekerja dalam industri ini.”

Wan Ullok berkata walaupun mereka gementar untuk menghadapi suasana itu, industri pelancongan sudah tentu teruja dan lega apabila mendengar pengumuman perdana menteri.

Katanya, perkara utama yang ada dalam agenda industri ialah menunjukkan kepada pelancong keadaan selamat untuk berkunjung dan melancong di Sarawak.

“Kita akan dapat mengembalikan keyakinan pelancong.”

Wan Ullok berkata ini sebabnya pemain industri perlu sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pelancong mereka.

Pemain industri pelancongan Sarawak teruja dengan pengumuman pembukaan sempadan tapi bimbang kerana kebanyakan pekerja sudah beralih ke pekerjaan lain sepanjang pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2022.

Ini akan dapat dicapai jika pemain industri terus melakukan peranan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Jika kita amalkan SOP dengan ketat dan kes dapat dikawal, kita akan dapat kembali keyakinan itu,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Ullok berkata beliau sedar industri ini tidak akan kembali seperti asal, sebelum pandemik.

Katanya, tempoh sekurang-kurangnya dua tahun diperlukan untuk kita kembali mendapatkan semula momentum keadaan pra pandemik.

“Tetapi inilah norma baharu yang kita jalani dan kita akan sesuaikan keadaan ini dengan bijak dan berhati-hati.”

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Abdul Karim Hamzah menyifatkan pengumuman itu tepat pada masanya.

Karim berkata rakyat Sarawak yang terpaksa hidup dengan Covid-19 dan menjalani perintah kawalan pergerakan serta langkah sekatan lain sebelum ini dalam usaha mengekang penularan virus itu, menjadikan mereka lebih berhati-hati.

Beliau berkata sempadan negara perlu dibuka semula, seperti yang dilakukan kebanyakan negara lain.

“Mereka tahu tidak akan mampu untuk terus menutup sempadan, demi ekonomi,” katanya, merujuk negara seperti Australia dan negara Asean seperti Filipina dan Indonesia.

“Kita perlu terima hakikat Covid-19 memang ada tetapi dengan langkah pencegahan yang baik, perjuangan kita melawan lonjakan jangkitan ini, akan berakhir tidak lama lagi,” katanya. – 11 Mac, 2022.

Iklan
Iklan