Amalan buruh paksa tertinggi di ladang sawit Sarawak, menurut tinjauan
Iklan
AMALAN buruh paksa dalam industri perladangan paling berleluasa di ladang kelapa sawit di Sarawak, menurut tinjauan pada 2018 oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).
Tinjauan pekerjaan di ladang kelapa sawit, yang dijalankan untuk menganggarkan kadar buruh paksa dan buruh kanak-kanak, mendapati kadar di negara ini pada 0.8 peratus atau lapan daripada 1,000 pekerja kelapa sawit.
Walaupun kadar itu jauh lebih tinggi di Sarawak (1.3 peratus) berbanding di Semenanjung Malaysia dan Sabah (masing-masing 0.6 peratus), tinjauan itu turut mendapati lebih separuh daripada buruh paksa berada di Sarawak, diikuti Sabah.
Tinjauan itu dikongsi pada perundingan pihak berkepentingan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam talian mengenai isu buruh paksa perladangan petang tadi.
Tinjauan itu juga mendapati Sarawak mencatatkan kadar tertinggi buruh kanak-kanak antara tiga wilayah itu iaitu 20.4 peratus.
Pekerja kanak-kanak itu ditakrifkan sebagai mereka yang berumur antara 5 dan 17 tahun.
Tinjauan mendapati kadar itu dianggarkan pada 14.5 peratus di Malaysia, kira-kira 42,500 pekerja kanak-kanak, manakala Sarawak mencatatkan kadar tertinggi berbanding Semenanjung dan Sabah.
Laporan itu juga menyatakan daripada 10 pekerja kanak-kanak, tujuh adalah rakyat Malaysia.
Tinjauan mendapati Sarawak mempunyai kadar buruh kanak-kanak tertinggi dengan 15.3 peratus daripada jumlah kanak-kanak yang dikaitkan dengan pekerja kepala sawit.
Manakala kadar bagi Semenanjung adalah pada 11.5 peratus manakala Sabah dengan 12.1 peratus.
Sekali lagi Sarawak mengatasi negeri lain dalam kategori buruh kanak-kanak.
Buruh kanak-kanak ditakrifkan sebagai semua orang berumur di bawah 18 tahun yang dikaitkan dengan pekerja kelapa sawit yang terlibat dalam pekerjaan yang mungkin membahayakan kesihatan, keselamatan atau moral mereka.
Tinjauan itu menganggarkan 33,600 kanak-kanak berumur 5-17 tahun merupakan buruh kanak-kanak dalam industri perladangan dan daripada semua buruh kanak-kanak di ladang kelapa sawit, dianggarkan 19,800 di Sabah dan 13,200 di Sarawak.
Tinjauan itu juga mendedahkan tiga daripada setiap empat pekerja kanak-kanak adalah pekerja keluarga tanpa gaji dengan majoriti - 58.9 peratus - masih bersekolah sepenuh masa.
Dalam ucapan pembukaannya, Pengerusi Suhakam Othman Hashim, berkata terdapat keperluan mendesak bagi Malaysia untuk segera melaksanakan langkah berkesan bagi membetulkan amalan buruh paksa yang berlaku di negara ini atau melibatkan syarikat Malaysia.
“Buruh paksa adalah satu kesalahan jenayah dan pencabulan hak asasi manusia. Ia memberi kesan negatif yang kuat kepada masyarakat, perniagaan dan ekonomi,” katanya.
Othman berkata bagi menghapuskan perhambaan moden dalam semua bentuk dengan berkesan, punca utama buruh paksa perlu ditangani. – 10 Mac, 2022.