Iklan

Perlu sistem rekod elak kerap lompat kerja, kata persatuan perniagaan

Aminah Farid3 years ago10th Mar 2022Berita
Abdul malik abdullah fmba press conference tmikamal 05
Pengerusi FMBA Abdul Malik Abdullah berkata kerajaan perlu menghasilkan sistem rekod seperti CTOS atau CCRIS yang menilai skor kredit dan kemampuan kewangan individu berdasarkan sejarah pembayaran mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Mac, 2022.
Iklan

PERSEKUTUAN Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) mencadangkan Putrajaya melaksanakan sistem rekod prestasi pekerja bagi mengelakkan pekerja kerap lompat kerja.

Pengerusinya Abdul Malik Abdullah berkata kerajaan perlu menghasilkan sistem rekod seperti CTOS atau CCRIS yang menilai skor kredit dan kemampuan kewangan individu berdasarkan sejarah pembayaran mereka.

Beliau berkata sistem itu akan menghalang seseorang pekerja daripada meninggalkan pekerjaan dengan mudah selain menghalang majikan daripada menggaji mereka yang cenderung bertukar kerja.

“Kami ada banyak isu dengan pekerja asing tidak dapat masuk jadi kami guna pekerja tempatan tetapi kami rasakan pekerja itu tidak akan bekerja untuk tempoh yang lama,” katanya.

“Mereka bekerja untuk tempoh yang sangat singkat dan ini memberi impak yang besar kepada perniagaan jadi kami rasa jika ada kemungkinan, kita perlu ada sistem yang serupa dengan CTOS dan CCRIS,” katanya.

“Kita perlukan sistem di mana kita ada rekod pekerja kerap lompat atau pekerja yang datang dan pergi supaya majikan tahu seseorang telah bertukar kerja enam kali dalam setahun, dengan cara itu mereka boleh lebih berhati-hati sebelum menggaji seseorang,” katanya.

Beliau berkata walaupun cadangan itu kedengaran keras, ia membantu majikan, pekerja dan kerajaan.

“Kita perlu ada sistem sebegini supaya orang ramai berhenti kerja ealau untuk dapat gaji lebih RM50 atau atas sebab mudah,” katanya.

Timbalan setiausaha agung Dr. Sri Ganesh Michiel berkata pekerja yang kerap berukar kerja adalah sebahagian daripada masalah mengapa perniagaan ambil sedikit masa untuk pulih daripada pandemik.

“Kita dapati ada pekerja yang berbohong tentang latar belakang mereka, contohnya ada yang terlibat dalam kegiatan jenayah manakala ada yang menagih dadah, jadi sistem ini mampu bantu syarikat sebelum menggaji seseorang,” katanya.

Pengerusi FMBA Abdul Malik Abdullah dan Timbalan setiausaha agung Dr. Sri Ganesh Michiel dalam sidang Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2022.

Sementara itu, FMBA turut menyertai gesaan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum baharu.

“Kami menyokong gesaan Menteri (Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Azmin Ali untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum baharu kerana ia sememangnya merugikan perniagaan,” katanya.

Awal minggu ini, Azmin berkata kerajaan perlu mempertimbangkan PKS dan sektor tidak formal sebelum membuat sebarang keputusan untuk menaikkan gaji minimum negara.

Malik berkata Putrajaya harus menangguhkan sementara sebarang inisiatif untuk menyemak atau menaikkan gaji minimum pekerja sehingga perniagaan pulih sepenuhnya dan mempunyai pendapatan yang mencukupi.

“Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan kenaikan harga mana-mana produk atau perkhidmatan yang secara langsung akan membebankan semua pihak,” katanya.

Seruan untuk menangguhkan gaji minimum baharu itu mendapat kritikan beberapa pihak termasuk Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan (LLRC) yang mengatakan majikan tidak sepatutnya menggunakan alasan Covid-19 untuk tidak menaikkan gaji pekerja.

Ini kerana, tambah LLRC, analisa ekonomi meramalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar akan meningkat daripada 3.5 peratus pada 2021 kepada 6.2 peratus.

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan juga mempertahankan langkah itu dengan berkata negara perlu meningkatkan aliran tunai untuk memulihkan ekonomi dan menjaga kesejahteraan rakyat.

Pada masa ini, kementerian sedang menunggu kelulusan Kabinet sebelum melaksanakannya.

Antara cadangan lain oleh FMBA untuk membantu perniagaan pulih daripada kesan pandemik adalah dengan memperkenalkan moratorium khas yang dikawal sepenuhnya oleh Putrajaya bagi membantu perniagaan, memastikan tiada kenaikan kadar utiliti dan membolehkan perniagaan beroperasi dengan lebih lembut serta kurang campur tangan pihak berkuasa. – 10 Mac, 2022.

Iklan
Iklan