Iklan

Jangan beri lagi tanah Sarawak kepada Putrajaya, kata ahli politik

Desmond Davidson3 years ago11th Mar 2022Berita
49935162007 9ee8edf7f7 b (6)
Kerajaan Sarawak digesa tidak tunduk kepada permintaan kerajaan Persekutuan untuk memberikan tanah negeri bagi tapak projek Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2022.
Iklan

AHLI politik pro-kemerdekaan Sarawak Voon Lee Shan menggesa kerajaan negeri supaya tidak tunduk kepada sebarang permintaan persekutuan untuk tanah negeri bagi tapak projek Persekutuan.

Presiden Parti Bumi Kenyalang itu berkata kerajaan negeri hanya perlu memberitahu kerajaan pusat di mana untuk membinanya tanpa perlu mengasingkan tanah.

“Jika kerajaan Persekutuan ikhlas (membantu) Sarawak kenapa tidak membangunkan sahaja tanah yang diperuntukkan kepadanya,” katanya menjawab kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob Selasa lepas bahawa kerajaan negeri perlu mengutamakan dan mempercepatkan kelulusan bagi permohonan pengambilan tanah bagi projek kerajaan Persekutuan.

Seruan Voon itu boleh membangkitkan isu sensitif di negeri itu - keengganan kerajaan Persekutuan untuk menyerahkan tanah yang diberikan milik negeri tetapi tidak pernah digunakan.

Tanah yang mereka kosongkan seperti bekas pangkalan tentera juga tidak dikembalikan.

Satu contoh utama tanah Putrajaya yang didakwa tidak akan dikembalikan ialah kawasan besar tanah berhampiran Rambungan kira-kira 30 kilometer dari Kuching yang sepatutnya menempatkan pusat pentadbiran Persekutuan baharu di bawah projek Bandar 2020.

Tanah itu dilaporkan diberi hak milik lebih 20 tahun lalu. 

Tanah itu harus diambil semula jika tidak dibangunkan. Sehingga hari ini ia masih terbiar, kata Voon.

Beliau berkata tiada pokok yang ditebang di atas tanah itu dan kerajaan negeri kini bertelagah untuk mengembalikan tanah berkenaan.

Voon berkata peletakhakan tanah dan keengganan untuk mengembalikannya apabila ia tidak digunakan atau dikosongkan sama seperti rampasan tanah oleh Putrajaya.

“Membina sekolah di Sarawak adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan tidak ada keperluan untuk kerajaan Sarawak menyerahkan atau memindahkan mana-mana tanah untuk tujuan bangunan sekolah kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

“Kerajaan Sarawak hanya perlu memberitahu kerajaan Persekutuan untuk membinanya. Dalam semua projek Persekutuan di Sarawak tiada tanah harus diserahkan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga bertanya sama ada kerajaan negeri akan menyerahkan atau memindahkan tanah di mana Lebuhraya Pan Borneo dibina “hanya kerana dana untuk membina lebuh raya itu datang daripada kerajaan Persekutuan”.

Pada 2019 Penasihat Undang-undang Negeri J C Fong berkata kerajaan Sarawak memberitahu Putrajaya bahawa mereka mahu semua tanah yang diberi hak milik untuk projek Persekutuan tetapi tidak lagi digunakan dikembalikan kepada negeri itu.

Fong memberi contoh kuaters bekas belajar kejururawatan hospital besar Sarawak, bekas depot peluru tentera berhampiran pusat komersial Saradise di Stutong, bekas Hospital Lau King Howe di Sibu dan bekas ibu pejabat Divisyen Pertama tentera di Jalan Tun Zaidi di Kuching.

Beliau berkata kerajaan negeri memberikan Putrajaya senarai semua tanah milik yang dimahukan negeri itu dikembalikan. – 11 Mac, 2022.

Iklan
Iklan