Iklan

Pihak berkuasa tak bertindak atas aduan pergerakan tanah, kata penduduk

Elill Easwaran3 years ago11th Mar 2022Berita
Landslide bukit permai 110322 tmiseth 09
Pekerja masuk ke kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai di Ampang, Selangor. Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 semalam mengorbankan empat penduduk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Mac, 2022.
Iklan

PENDUDUK di Taman Bukit Permai 2, Ampang berkata mereka sudah membangkitkan kebimbangan mengenai pergerakan tanah kepada pihak berkuasa sebelum ini tetapi tiada tindakan diambil.

Dalam lawatan ke kawasan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan empat penduduk semalam, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Leong memberitahu The Malaysian Insight kematian boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa tempatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil serius kebimbangan mereka.

“Pihak berkuasa sangat lambat dalam menjalankan tugas mereka dan kematian boleh dielakkan.

“Beberapa bulan lalu penduduk di sini membuat aduan mengenai pergerakan tanah. Pihak berkuasa datang dan melihat tetapi mereka berkata semuanya baik-baik sahaja.

“Tetapi lihatlah sekarang. Apa yang baik-baik saja?,” kata Leong.

Leong berkata dia tidak bercadang untuk keluar dari rumahnya kerana tidak mempunyai tempat untuk tinggal.

“Saya hanya berdoa agar tidak berlakunya hujan sekali lagi dan memburukkan keadaan,” katanya.

Seorang lagi penduduk Fakhrul Ariffin, 24, berkata dia dan keluarganya menginap di sebuah hotel dan pulang hari ini untuk memeriksa rumah keluarganya itu.

Fakhrul juga berkata dia mengenali jiran yang pernah membuat aduan kepada MPAJ tetapi tiada tindakan diambil.

“Jiran saya memberitahu kami apa yang mereka lakukan dengan MPAJ. Pihak bomba datang dan melihat tetapi mereka mengatakan ia tidak serius jadi mereka pergi,” katanya. 

Fakhrul berkata keluarganya terpaksa berpindah kerana tiada bekalan elektrik dan air sejak 24 jam lalu.

Fakhrul Ariffin, 24, berkata jirannya sudah membuat aduan berhubung pergerakan tanah sebelum kejadian tetapi tiada tindakan diambil. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Mac, 2022.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Samuel berkata dia keluar dari rumahnya malam tadi sejurus kejadian tanah runtuh.

Seperti Taman Bukit Permai banyak kawasan perumahan di kawasan Ampang terletak berhampiran lereng bukit.

“Sebaik sahaja kami melihat tanah runtuh kami segera berpindah kerana tidak pasti betapa teruknya ia boleh berlaku.

“Saya bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kerosakan pada harta benda saya tetapi saya masih bimbang tanah runtuh boleh berlaku lagi berikutan cuaca hujan,” katanya.

Samuel pulang ke rumahnya hari ini untuk memindahkan beberapa barang ke rumah saudara di Shah Alam.

Apa yang menimbulkan kemarahannya ialah kekurangan maklumat atau sebarang amaran mengenai kemungkinan tanah runtuh memandangkan hujan setiap hari sebelum tanah runtuh dan terutamanya selepas banjir kilat yang melanda pusat bandar Kuala Lumpur dan kawasan terpencil pada Isnin.

“Saya terkejut mereka tidak mengeluarkan sebarang amaran awal kerana musim hujan dan kemungkinan tanah runtuh sangat tinggi,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 semalam mengorbankan empat penduduk. Penduduk mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil peduli kebimbangan yang pernah dibangkitkan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Mac, 2022.

Tanah runtuh di Taman Bukit Permah 2 berlaku pada 5.54 petang semalam dan meragut empat nyawa. Seorang turut cedera selain 15 rumah dan 10 kenderaan mengalami kerosakan.

Polis berkata mangsa yang maut ialah A. Mahendra, 36, E. Ramasamy, 58, Mohd Saifullah Ridzuan Ishak, 34 dan Chong Siew Kim, 85.

Maklum balas segera Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ialah memperuntukkan RM1 juta kepada MPAJ untuk kerja pembersihan yang akan dimulakan sebaik kawasan itu diisytiharkan selamat.

Awal hari ini The Star melaporkan sebanyak 48 rumah di kawasan terjejas diarah dipindahkan. 

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata Jabatan Kerja Raya dan Institut Kerja Raya Malaysia akan menjalankan kajian tanah dalam tempoh tiga hingga lima hari akan datang. – 11 Mac, 2022.

Iklan
Iklan