Iklan

Lebih 150 cerun berisiko tinggi perlukan penstabilan, kata exco Selangor

Elill Easwaran3 years ago11th Mar 2022Berita
Landslide bukit permai 110322 tmiseth 02
Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 pada 5.54 petang semalam meragut empat nyawa dan seorang cedera selain menyebabkan 15 rumah dan 10 kenderaan mengalami kerosakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Mac, 2022.
Iklan

Terdapat lebih 150 cerun berisiko tinggi yang memerlukan penstabilan di daerah Gombak dan Hulu Langat di Selangor, kata exco kerajaan negeri Izham Hashim.

“Selepas banjir yang berlaku pada Disember tahun lepas banyak cerun dikategorikan sebagai berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita di Taman Bukit Permai 2 di Ampang hari ini, tempat kejadian tanah runtuh petang semalam yang meragut empat nyawa.

Beliau berkata kebanyakan daripada lokasi ini hanya dikategorikan sebagai berisiko tinggi baru-baru ini dan kerja penstabilan akan dilakukan dengan mengutamakan yang mempunyai risiko tertinggi.

Izham bagaimanapun berkata kejadian semalam di Taman Bukit Permai  2 adalah di luar jangkaan kerana tidak ada tanda sebelum ini ia terdedah kepada tanah runtuh. 

“Kejadian di sini mengejutkan kita kerana tempat ini tidak dikategorikan sebagai berisiko tinggi.

“Kami akan memindahkan penduduk dengan segera jika terdapat sebarang tanda tetapi tiada,” katanya.

Pengerusi jawatankuasa infrastruktur dan pertanian negeri juga berkata tiada keretakan dikesan di jalan raya di Taman Bukit Permai 2 juga sebelum tanah runtuh.

Penduduk sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight mereka memfailkan aduan sebelum kejadian ini mengenai pergerakan tanah tetapi tiada tindakan diambil.

Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 pada 5.54 petang semalam meragut empat nyawa dan seorang cedera selain menyebabkan 15 rumah dan 10 kenderaan mengalami kerosakan.

Polis mengenal pasti mangsa yang maut ialah A. Mahendra, 36, E. Ramasamy, 58, Mohd Saifullah Ridzuan Ishak, 34 dan Chong Siew Kim, 85.

Ketua POlis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Ampang dan dikenal pasti oleh ahli keluarga mereka.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukkan RM1 juta untuk kerja pembersihan yang akan dimulakan sebaik kawasan itu diisytiharkan selamat.

Dilaporkan juga penghuni 48 rumah di kawasan terbabit diarah berpindah.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata Jabatan Kerja Raya dan Institut Kerja Raya Malaysia akan menjalankan kajian tanah di kawasan itu dalam beberapa hari akan datang. – 11 Mac, 2022.

Iklan
Iklan