Iklan

Selangor bersedia tangani masalah banjir lebih baik, kata exco

Elill Easwaran3 years ago12th Mar 2022Berita
Flash march 07, 2022 afif 10 (2)
Beberapa bahagian di Selangor dan Kuala Lumpur sekali lagi dilanda banjir kilat pada Isnin, 7 Mac lalu hanya tiga bulan selepas Lembah Klang berdepan banjir terburuk sejak 1971. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.
Iklan

SELANGOR lebih bersedia menangani banjir pada masa hadapan hasil daripada beberapa langkah baharu termasuk sistem amaran tujuh hari sebelum ini, kata exco kerajaan negeri Izham Hashim.

Exco yang bertanggungjawab bagi infrastruktur dan pertanian negeri itu berkata pegawai negeri kini juga mempunyai lebih banyak pengalaman selepas belajar daripada kejadian banjir besar yang tidak disangka-sangka melanda banyak kawasan pada Disember lalu.

Sistem amaran tujuh hari sebelumnya masih diperhalusi, kata Izham kepada The Malaysian Insight.

“Menjelang akhir Mac kami akan mempunyai sistem yang membantu meramalkan banjir tujuh hari lebih awal dan kawasan yang mungkin paling terjejas.

“Ini akan membantu kami membuat persediaan lebih baik dan memastikan pasukan penyelamat sentiasa berjaga-jaga dan bersiap sedia,” katanya.

Hujan lebat yang luar biasa dan berterusan sebelum dan pada hujung minggu 17 hingga 18 Disember menyebabkan banjir besar di beberapa negeri termasuk Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Banjir itu menyebabkan lebih 70,000 orang kehilangan tempat tinggal dan mengorbankan 54 penduduk. Selangor adalah antara negeri yang paling teruk dilanda banjir di mana seramai 25 orang maut.

Izham berkata bencana Disember menyebabkan Selangor mengkaji semula sistem pengurusan banjirnya.

Satu lagi langkah dalam kerja ini ialah sistem automatik untuk pintu air di laluan air.

“Dengan sistem automatik untuk pintu air kami tidak perlu menghantar pihak berkuasa ke lapangan untuk mengendalikannya (secara manual) kerana ini akan mengambil lebih banyak masa.

“Kami sedang mengusahakannya dan kami berharap dapat menyelesaikannya tidak lama lagi,” kata Izham.

Hujan lebat yang luar biasa dan berterusan sebelum dan pada hujung minggu 17 hingga 18 Disember menyebabkan banjir besar di beberapa negeri termasuk Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

Selepas banjir Disember, Izham memberitahu The Malaysian Insight berkenaan pengajaran yang diperoleh daripada episod itu.

Selain kekurangan pengalaman beberapa pegawai beliau berkata petugas barisan hadapan - pegawai negeri yang akan turun padang mengendalikan banjir - sendiri terperangkap di lebuh raya atau di rumah mereka yang dinaiki air.

Oleh itu, mengautomasikan sistem akan membolehkan tindakan diambil dengan lebih pantas.

Izham menambah negeri sudah mengetahui kepentingan menyediakan lebih banyak penjana elektrik untuk kecemasan.

“Apabila banjir berlaku stesen janakuasa juga terjejas.

“Ini menghalang pam dan pintu air kami daripada berfungsi jadi penjana perlu disediakan terlebih dahulu untuk mengelakkan perkara itu berlaku.

“Kami kini lebih berpengalaman dan komited untuk mengendalikan sebarang jenis banjir dalam masa terdekat,” tambahnya.

Hanya tiga bulan selepas Lembah Klang berdepan banjir terburuk sejak 1971, Kuala Lumpur dan beberapa bahagian di Selangor sekali lagi dilanda banjir kilat pada Isnin, 7 Mac.

Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan tujuh sungai di Kuala Lumpur dan Selangor melebihi paras air berbahaya dalam beberapa jam sahaja dalam hujan di waktu petang.

Gambar tular menunjukkan kereta tersangkut di jalan raya yang dinaiki air dan paras air meningkat di tempat letak kereta. Kali ini bagaimanapun air banjir surut dengan lebih cepat berbanding pada Disember. – 12 Mac, 2022.

Iklan
Iklan