Universiti milik kerajaan negeri bukan hanya untuk Melayu, kata Abang Johari
Iklan
KAMPUS kedua Kolej Universiti i-CATS- milik kerajaan negeri- akan dibina di Telaga Air, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg, yang turut mempertahankan keputusan kerajaan untuk membinannya di kawasan majoriti Melayu.
Tapak dipilih kerajaan negeri terletak di kawasan pesisir Lundu, 37km dari Kuching, berhampiran perkampungan nelayan Trombol.
Dalam ucapannya pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills dan i-CATS di Kuching hari ini, Abang Johari berkata i-CATS tidak “mendiskriminasi (pengambilan pelajar mengikut bidang) berasaskan kaum atau agama”.
Katanya lagi, kampus itu juga akan memberi lebih peluang kepada penduduk Sarawak tanpa mengira kaum dan agama untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
“Walaupun terletak di kawasan lain, unsur pilih kasih tidak wujud kerana ia bukan sahaja untuk semua masyarakat di Sarawak tetapi juga mensasarkan pelajar antarabangsa.”
Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Bobby William minggu lepas mempersoalkan keputusan kerajaan negeri untuk membina kolej universiti di kawasan itu.
Dakwa pemimpin pembangkang negeri itu, kampus di situ hanya akan memenuhi keperluan “masyarakat minoriti di Sarawak”.
“PBDSB mempersoalkan faedah universiti sebegitu yang hanya untuk orang Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menuduh kerajaan negeri mengamalkan “dasar menuju ke arah kerajaan berpaksikan Islam” walaupun Sarawak secara rasmi adalah negeri secular.
Bagaimanapun, Abang Johari hari ini berkata i-CATS akan melengkapkan usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan masyarakat dipandu data dan inovasi.
Katanya dengan sokongan pemegang taruh dalam kerajan dan industri, i-CATS akan membangunkan pelbagai program untuk menyokong sektor ekonomi utama Sarawak yang akan memacu pertumbuhan ekonomi.
Program ini, tambahnya, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 Sarawak. – 12 Mac, 2022.