Iklan

Gaji minimum baharu mungkin dilaksanakan lebih awal, kata menteri

Aminah Farid3 years ago14th Mar 2022Berita
50273999198 2b8044e730 o
Pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 mungkin dilakukan dalam masa terdekat, dan tidak menunggu hingga akhir tahun, kata Menteri Sumber Manusia M. Saravanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2022.
Iklan

PUTRAJAYA sedang mengkaji untuk pelaksanaan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 dilakukan dalam masa terdekat, dan tidak menunggu hingga akhir tahun seperti diumumkan sebelum ini.

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan memberitahu Parlimen hari ini Kabinet juga bersetuju secara prinsip untuk menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500.

“Kerajaan mencadangkan pelaksanaan gaji minimum baharu tidak lama lagi dan bukan hujung tahun 2022, memandangkan kepada situasi ekonomi semasa sedang meningkat dan kebanyakan perniagaan menunjukkan trend pulih,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga akan memastikan perniagaan tidak mengurangkan tenaga kerja susulan kenaikan gaji minimum.

“Kadar gaji minimum yang baharu hanya akan dilaksanakan dengan melihat keperluan sebenar rakyat dan kemampuan majikan,” katanya.

Bulan lalu, kementerian berkata kerajaan mungkin menaikkan gaji minimum baharu penghujung tahun ini dan ia belum diluluskan Kabinet untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500.

Sementara itu, Saravanan berkata keluaran dalam negara kasar negara merekodkan peningkatan 3.6% pada suku keempat 2021.

Beliau berkata peningkatan itu dicapai dengan bantuan kewangan kerajaan kepada majikan untuk meneruskan operasi perniagaan selain terus menggaji pekerja.

Berdasarkan kepada ramalan Bajet 2022, pencapaian ekonomi dijangka berkembang pada kadar 5.5% hingga 6.5% pada 2022, katanya.

Malaysia kali terakhir menaikkan gaji minimum pada Februari 2020, daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan. Kadar gaji sejam dinaikkan daripada RM5.29 kepada RM5.77.

Berdasarkan kepada Akta Gaji Minimum, kerajaan perlu menyemak semula dan menaikkan gaji minimum setiap dua tahun. – 14 Mac, 2022.

Iklan
Iklan