Iklan

Dividen KWSP mungkin 6.7% jika bukan kerana skim pengeluaran, kata Tengku Zafrul

Aminah Farid3 years ago14th Mar 2022Berita
49999962727 fd89f0542d o
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata jika bukan kerana i-Sinar, i-Citra, dan i-Lestari tersebut, kadar dividen boleh meningkat kepada 6.7 peratus berbanding 6.1 peratus yang diumumkan baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2022.
Iklan

JIKA bukan kerana i-Sinar, i-Citra, dan i-Lestari, dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk 2021 mungkin lebih tinggi berbanding 6.1 peratus, kata Menteri Kewangan.

Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata kadar dividen boleh meningkat kepada 6.7 peratus jika bukan kerana skim pengeluaran tersebut.

Kerajaan memperkenalkan skim-skim itu bagi membolehkan ahli KWSP mengeluarkan simpanan mereka semasa mengharungi pandemik Covid-19.

Akibatnya, Zafrul berkata lebih 5.3 juta ahli KWSP yang tidak mengeluarkan simpanan persaraan mereka di bawah skim ini terpaksa menerima kadar dividen yang lebih rendah.

Beliau berkata KWSP mengalami kerugian RM5.4 bilion daripada skim-skim ini yang boleh diagihkan kepada semua 14 juta ahlinya.

Dalam jawapan kepada Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) dan Salim Sharif (BN-Jempol), Zafrul bertanya sama ada ini adil kepada ahli yang tidak mengeluarkan KWSP mereka dan boleh menerima kadar dividen yang lebih tinggi.

“Jumlah kehilangan RM5.4 bilion itu telah menyebabkan lebih kurang 5.3 juta ahli yang tidak pernah mengeluarkan simpanan melalui mana-mana skim pengeluaran, terpaksa menerima pulangan simpanan lebih rendah.

“Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat sekalian yang juga mewakili pencarum yang tidak perlu mengeluarkan simpanan mereka, adakah ini adil?” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, mengenai gesaan ahli Parlimen untuk membenarkan ahli KWSP mengeluarkan tambahan RM10,000 daripada akaun mereka, beliau berkata jika Putrajaya membenarkan ini, sekurang-kurangnya ia akan menyaksikan pengeluaran RM63 bilion.

“Sekiranya pengeluaran tambahan dibenarkan, KWSP perlu melaksanakan pengimbangan portfolio dan impaknya mungkin lebih dari nilai pengeluaran RM63 bilion ringgit.

“Jadi kalau kita nak sediakan nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion ringgit, KWSP perlu menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dalam keadaan pasaran yang tidak menentu, seperti yang diketahui dengan krisis Rusia-Ukraine dan sebagainya, dan memberhentikan pelaburan di dalam negara untuk tempoh jangka pendek dan sederhana.

“Langkah ini akan beri impak negatif kepada pasaran saham dan bon tempatan,” katanya.

Zafrul berkata daripada skim pengeluaran yang diperkenalkan awal semasa pandemik untuk membantu mengurangkan kesannya, KWSP menyaksikan pengeluaran sebanyak RM101 bilion yang memanfaatkan lebih 7.3 peratus atau 58 peratus ahli KWSP.

Tambahnya, pengeluaran khas itu juga mengakibatkan penurunan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai simpanan asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus pada 2020 kepada 30 peratus menjelang akhir 2021.

Beliau juga berkata 48 peratus ahli KWSP berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

Terdapat gesaan daripada beberapa pihak termasuk pemimpin Umno supaya KWSP memperkenalkan satu lagi skim bagi membolehkan ahli mengeluarkan wang bagi membantu mereka mengharungi masalah kewangan akibat pandemik Covid-19. – 14 Mac, 2022.

Iklan
Iklan