Iklan

Kekurangan peruntukan jejas penjagaan kesihatan awam, kata Khairy

Noel AchariamAminah Farid3 years ago15th Mar 2022Berita
Covid ambulance hospital patient tmi najjua 060421
Malaysia memperuntukkan hanya 2.8% daripada KDNK bagi penjagaan kesihatan berbanding negara lain sebanyak 4%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2022.
Iklan

ISU kekurangan pembiayaan yang kronik dalam sistem penjagaan kesihatan awam akan ditangani dalam Kertas Putih bagi reformasi sistem penjagaan kesihatan negara, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri kesihatan berkata Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi, peruntukan yang diberi kurang berbanding nilai optimum tahunan.

“Pembiayaan untuk penjagaan kesihatan adalah 2.8% lebih rendah daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2020, berbanding negara lain dengan perbelanjaan mereka adalah 4%.

“Sebab itu, pembiayaan bagi penjagaan kesihatan awam sangat penting. Ia akan dibincangkan dan dibentangkan dalam Kertas Putih,” kata Khairy di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy menjawab soalan Wong Hon Wai (Bukit Bendera-PH) yang bertanyakan skop Kertas Putih bagi pembaharuan penjagaan kesihatan yang sedang dirangka dan bila ia akan dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata Kertas Putih itu akan mencadangkan penyelesaian secara berperingkat dari segi pembaharuan penyampaian perkhidmatan, pembiayaan, tadbir urus dan organisasi merangkumi tempoh 15 tahun.

“Kertas Putih itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada November 2022.”

Wong juga bertanya kepada Khairy apakah yang akan digariskan dalam Kertas Putih jika terdapat perubahan dalam kerajaan.

Khairy (Rembau-BN) berkata untuk memastikan Kertas Putih kalis masa depan ia akan dibawa ke Parlimen, supaya wujud konsensus bipartisan.

“Tidak kira siapa yang menerajui jawatan menteri kesihatan, perubahan kepada sistem penjagaan kesihatan mesti diteruskan.

“Jadi, saya memutuskan proses ini mesti dibawa ke Parlimen untuk mendapatkan konsensus bipartisan.

“Dengan konsensus, dokumen ini akan menjadi hala tuju bagi sesiapa sahaja yang menerajui jawatan menteri kesihatan.”

Beliau juga menyarankan agar semua laporan bukan sahaja dibincangkan dalam Kabinet tetapi juga dengan jawatankuasa pemilih khas, supaya semua pencapaian dapat dicapai menurut yang disediakan oleh Kertas Putih.

Wong juga bertanya kepada Khairy mengenai pelaburan yang sedikit dan kekurangan peruntukan diberikan kepada Kementerian Kesihatan.

“Adakah Kertas Putih Kementerian Kesihatan mempunyai bahagian mengenai pembiayaan untuk sistem penjagaan kesihatan?

“Selain itu, adakah terdapat sebarang cadangan untuk menaikkan peruntukan penjagaan kesihatan di bawah belanjawan kepada 4% di bawah KDNK seperti dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebanyak 7%.”

Khairy berkata, mengikut laporan Ketua Audit Negara pada 2018, terdapat kekurangan kakitangan di bahagian kecemasan dan trauma, kesesakan pesakit dan kekurangan peralatan dan dana.

“Ini adalah beberapa isu yang menyebabkan ketidaksediaan dalam sistem penjagaan kesihatan.

“Ini bukan sahaja di jabatan kecemasan dan trauma tetapi mencerminkan kemudahan kesihatan kerajaan yang lain seperti klinik dan hospital.”

Tambahnya, penyediaan Kertas Putih itu akan mengambil kira hasil dan cadangan pelbagai kajian sistem kesihatan yang dilaksanakan sebelum ini serta pandangan pihak berkepentingan termasuk rakyat melalui sesi libat urus. – 15 Mac 2022.
 

Iklan
Iklan