Isu MB Johor tenggelam dengan desakan bubar Parlimen, kata penganalisis
Iklan
ISU pelantikan menteri besar Johor dijangka tenggelam dengan keghairahan perwakilan Umno untuk membubarkan parlimen selepas menang besar dalam pilihan raya negeri, kata penganalisis.
Mereka melihat pelantikan Adun Machap Onn Hafiz Ghazi sebagai tamparan kepada Umno yang terlalu yakin dengan kemampuan mereka, termasuk dalam pelantikan menteri besar.
Ia turut memperlihatkan krisis kepercayaan terhadap kepemimpinan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi kata seorang penganalisis, Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre.
Sedikit sebanyak, pelantikan Onn Hafiz akan mempengaruhi mood perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU), namun desakan untuk membubarkan Parlimen lebih kuat, katanya.
Ketua pegawai eksekutif badan kajian itu menjangka isu tersebut akan menyebabkan sedikit kesuraman dalam PAU yang bermula semalam hingga hujung minggu ini.
“Saya bayangkan isu ini akan menyebabkan kesuraman sedikit semasa PAU selepas Barisan Nasional (BN) menang besar. Ia akan sebabkan mood terganggu apabila calon menteri besar yang dijanji rakyat Johor terhalang.
“Sedikit sebanyak ia mengganggu kerancakan PAU dan sudah tentu ahli terutama perwakilan Johor melihat isu dengan tanda tanya, seakan-akan presiden gagal mempertahankan calon MB yang diangkat parti,” katanya.
Ini kali kedua masalah ini berlaku, katanya yang mengingatkan calon ketua eksekutif negeri Sabah pilihan pemimpin Umno juga gagal dilantik ke jawatan selepas pilihan raya negeri 2020,.
Beliau berkata kesan daripada isu itu akan membuka pintu ketidakyakinan terhadap kemampuan pemimpin tertinggi Umno berdepan kuasa lebih tinggi.
“Ia jadi buah mulut dan orang akan membandingkan perkara ini tidak berlaku semasa zaman Dr Mahathir (Mohamad). Jadi isu memang ada kaitan dengan politik kepimpinan.
“Walau BN beroleh undi besar tapi mereka gagal berunding dengan pihak istana untuk memahamkan yang parti itu perlu menaikkan calon menteri besar mereka,” katanya.
Umno mengadakan perhimpunan tahunannya bagi tahun 2021 selama empat hari selepas menangguhkannya pada Januari lepas atas alasan musibah banjir.
Ia berlangsung selepas BN memperolehi majoriti lebih dua pertiga apabila menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Sabtu lalu.
Namun parti itu bergelut dengan polemik pelantikan menteri besar apabila Hasni Mohammed, calon menteri besar yang diumumkan Zahid, tidak dilantik semula ke jawatan itu.
Sebaliknya, Adun Machap Onn Hafiz tampil ke istana untuk mengangkat sumpah jawatan menteri besar ke-19 pada Selasa.
Namun hingga ke saat-saat akhir sebelum beliau menjalani upacara itu, timbul dakwaan meluas bahawa wujud 38 surat akuan bersumpah menyokong Hasni dilantik ke jawatan itu.
Tambahan pula, Zahid menyuarakan jaminan untuk melantik Hasni sebagai menteri besar semula sejak awal Februari lagi, sewaktu BN baru melancarkan jentera pilihan raya negeri.
Pelantikan Onn Hafiz itu tidak disenangi kalangan pemimpin Umno seperti Shahrir Samad yang berkata beliau berasa malu untuk hadir dan berucap sebagai wakil Johor di PAU.
PRU15, kestabilan politik isu hangat PAU
Namun Hisomuddin melihat isu pelantikan itu tidaklah terlalu besar kerana desakan perwakilan supaya parlimen dibubarkan bagi mengadakan pilihan raya umum pasti lebih kuat.
Jelasnya, desakan itu muncul kerana Umno berasa PRU15 sesuai diadakan pada waktu ini semasa pembangkang masih terkejut dengan kekalahan berturut-turut.
“Dan mood pengundi masih lagi sama seperti PRN Johor dan Melaka. Peratusan dan pola pengundi masih sama dan akan beri kelebihan kepada BN,” katanya.
PAU 2021 bermula pada Rabu dengan Timbalan Presiden Mohamad Hasan menggesa PRU15 diadakan lebih awal memandangkan pembangkang masih belum bersedia.
Seruan itu disokong kesemua pemimpin sayap Umno dalam ucapan dasar masing-masing semalam.
Umno Johor dilaporkan tidak akan menyertai perbahasan dalam perhimpunan agung itu, atas permintaan Hasni sebagai pengerusi badan tersebut.
Hasni juga didakwa mahu menghalang usaha segelintir perwakilan Umno Johor yang mahu menolak pelantikan Onn Hafiz sebagai menteri besar Johor ke-19.
Penganalisis dari Universiti Sains Malaysia Azmil Tayeb pula melihat konflik yang timbul ekoran pelantikan Onn Hafiz sebenarnya lebih besar dengan melihat sikap ditunjukkan Shahrir Samad.
“Ia akan menjurus kepada perbalahan kerana Hasni dilihat sebagai tokoh yang popular dan berprestasi yang sepatutnya lebih layak dipilih sebagai menteri besar.
“Saya pasti ramai anggota yang kecewa dan sukar menerima keputusan itu terutama apabila diumumkan secara mendadak,” katanya.
Bagaimanapun beliau menjangka perwakilan Umno tidak akan meluahkan rasa tidak puas hati mereka secara terbuka kerana calon menteri besar yang baharu merupakan pilihan istana.
Pada masa sama beliau setuju tarikh PRU15 akan menjadi isu hangat yang akan dibahaskan kerana BN dalam posisi baik ketika ini.
“Selain itu isu kestabilan politik juga saya rasa akan dibincangkan dan isu ekonomi terutamanya kos hidup yang tinggi dan menghidupkan semula program subsidi yang popular waktu zaman BN.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali juga menjangka isu pelantikan Onn Hafiz tidak akan dibahaskan perwakilan semasa PAU.
“Saya tidak jangka isu ini akan jadi perbahasan kerana melibatkan istana. Kita tahu orang Melayu
“Saya tidak jangka benda ini akan jadi perbahasan kerana ia isu raja kalau orang persoalkan ia akan dianggap derhaka. Tapi sudah tentu akan mengganggu emosi ahli dan pewakilan,” katanya.
Beliau bagaimanapun melihat pelantikan Onn Hafiz mengaibkan Umno kerana mencanangkan untuk mengekalkan Hasni sejak awal.
Mazlan berkata kelemahan Umno dalam isu tersebut berpunca dari sifat terlalu yakin parti Melayu itu yang percaya mereka mampu menentukan semua agenda.
“Bukan setakat malu tapi mengaibkan sebab berdegar-degar masa (kempen) PRN mereka kata ada calon MB dan perlekeh PH dan PH
“Umno kena sedar diri dan janganlah yakin sangat seolah mereka boleh kerana ada ada kuasa yang mereka tidak boleh atasi iaitu kuasa sultan dalam negeri yang berdaulat,” katanya.
Tambahnya, dalam isu pelantikan menteri besar, Umno tidak boleh berbuat apa-apa kerana sultan berkuasa penuh dan tidak perlu meminta nasihat dari sesiapa dalam hal tersebut.
Jelasnya, biarpun pengamal undang-undang melihat terdapat kekhilafan dalam sesuatu sudut memandangkan calon diumumkan Umno mendapat sokongan, sultan tetap berkuasa menolak.
“Ini memang dalam lingkungan kuasa sultan. Sebab itu parti kena selari dengan sultan,” katanya.
Katanya, jarang berlaku sultan tidak setuju dengan calon menteri besar sewaktu Umno dalam kedudukan kukuh seperti sewaktu 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya Umno mula lemah semasa pentadbiran Abdullah Badawi yang menyaksikan BN hilang kuasa di lima negeri.
“Selepas itu kita dengar timbul banyak calon menteri besar di tolak sultan seperti di Terengganu, Perlis,” katanya.
Ditanya sekiranya pelantikan Onn Ghazali akan mewujudkan perpecahan dalam parti, beliau menjangka ia bergantung kepada prestasi menteri besar baharu itu.
“Kita kena tengok dahulu bagaimana menteri baharu ini boleh dapatkan kepercayaan dari segi polisi yang diambil
“Barisan exco yang dilantik juga sangat penting. Jika beliau ambil kira semua pihak untuk pegang jawatan, mungkin tidak timbul isu tidak puas hati,” katanya. – 18 Mac, 2022.