Iklan

AGC kaji tuntutan terhadap MA63, kata Wan Junaidi

Desmond Davidson3 years ago18th Mar 2022Berita
49934886546 88419e1432 o
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tuntutan sivil difailkan aktivis Sarawak berkenaan MA63 sedang dikaji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2022.
Iklan

PEJABAT Peguam Negara (AGC) diminta mengkaji tuntutan sivil difailkan 11 penduduk Sarawak terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Wan Junaidi berkata AGC akan turut melihat sudut jenayah, jika ada.

Tuntutan itu difailkan sekumpulan aktivis pro kemerdekaan dan hak negeri diketuai Dorus Katan Juman di Mahkamah Tinggi Kuching pada November tahun lalu, memohon untuk MA63 diisytiharkan sebagai tidak sah.

Sehubungan itu, kumpulan itu turut mendesak Sarawak dibenarkan keluar dari Malaysia dengan alasan perjanjian itu dilanggar.

Tuntutan itu difailkan terhadap kerajaan United Kingdom, Malaysia dan Sarawak.

Ahli poliitk pro kemerdekaan yang juga Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan, di mana tuntutan itu difailkan menerusi firmanya, hari ini berkata undang-undang Malaysia tidak melarang sesiapa yang terkilan dengan pembentukan Malaysia “untuk menyaman mana-mana pihak yang dikehendaki”.

“Tidak ada unsur menghasut atau khianat dalam tuntutan saman terhadap kerajaan berkenaan pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Voon berkata beliau menerima banyak soalan daripada orang awam berkenaan tuntutan itu.

Katanya, mereka tidak sepatutnya terganggu dengan dakwaan yang hakim boleh ditahan kerana mendengar perbicaraan kes terhadap individu berkuasa atau kerajaan.

Ini merujuk kepada desakan sesetengah kumpulan untuk menahan hakim perbicaraan kes SRC International membabitkan Najib Razak, Muhammad Nazlan Mohd Ghazali.

Nazlan mensabitkan Najib bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap bekas perdana menteri itu.

Voon berkata hakim dilindungi undang-undang dan jika tuntutan berkaitan MA63 atau pembentukan Malaysia difailkan, jangan risau mahkamah tidak takut untuk mendengar prosiding tuntutan ini kerana mahkamah terikat dengan undang-undang untuk menegakkan keadilan.

Pada Rabu, Voon memberitahu The Malaysian Insight beliau bertindak sedemikian supaya rakyat Sarawak dan Sabah “tahu apa yang berlaku kepada kita”.

Pada pengurusan kes itu secara atas talian pada Selasa, peguam untuk Sarawak dan kerajaan persekutuan Khairul Kabir Abdul Kadir dan Shamsul Bolhassan berkata akan memfailkan untuk tuntutan itu ditolak.

Mahkamah menetapkan hingga 15 April untuk berbuat demikian. – 18 Mac, 2022.

Iklan
Iklan