Penyu mati bukan salah nelayan 100%, kata aktivis, penyelidik
Iklan
JABATAN Perikanan Terengganu tidak wajar terus menyalahkan nelayan yang menggunakan pukat pari dan pukat tunda sebagai punca penyu mati di perairan negeri itu, kata aktivis dan penyelidik.
Ia sepatutnya lebih proaktif termasuk meningkatkan penguatkuasaan untuk melindungi penyu yang sedang diancam kepupusan, kata mereka.
Jabatan itu merekodkan 27 ekor penyu mati sejak Januari tahun ini, terutamanya akibat penggunaan pukat pari dan pukat tunda selain sampah plastik.
Pengasas Kapas Conservation Club Rani Ahmad berkata pihaknya, yang menjalankan kerja-kerja perlindungan penyu di perairan Terengganu, sudah sering menyuarakan isu itu tetapi dipandang sepi oleh pihak berkuasa.
Katanya, tanpa tindakan segera, lebih banyak lagi penyu akan mati.
“Sudah banyak kali kita tekankan jika pukat pari puncanya, keraplah buat operasi dan pemantauan tapi setakat ini kita tidak lihat usaha proaktif jabatan perikanan.
“Apa yang kita bimbang hidupan haiwan reptilia ini akan semakin diancam, sudahlah ia diambang kepupusan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dalam tempoh tiga tahun antara 2019 dan 2021, 184 ekor penyu dikesan mati di perairan Terengganu.
Pengarah Perikanan Terengganu Ruzaidi Mamat berkata sikap nelayan yang terus menggunakan pukat pari dan pukat tunda sebagai punca utama, biarpun mereka sedar ancamannya kepada penyu.
“Mereka masih pakai pukat pari dan pukat tunda sebab nak kerja senang, biarpun sebelum ini kita selalu adakan program dan dialog bersama nelayan mengenai isu ini,” katanya.
Malaysia mengharamkan penggunaan pukat pari bersaiz lebih 25 sentimeter atau 10 inci tetapi larangan itu tidak dipatuhi sepenuhnya oleh nelayan.
Akta Perikatan 1985 juga melarang penggunaan pukat tunda di Zon A, iaitu lima batu dari pesisir, kecuali pada musim tengkujuh melalui lesen khas.
Menurut Ruzaidi, 61 operator pukat tunda mendapat lesen pukat musim tengkujuh dan mereka disyaratkan memasang alat peranti penyisih, yang akan memberi isyarat kepada penyu untuk meninggalkan kawasan penggunaan pukat jenis itu.
Beliau bagaimanapun tidak menjawab sama ada kesemua operator berkenaan memasang alat itu.
Mengulas kritikan terhadap jabatannya yang dianggap lemah dalam penguatkuasaan, Ruzaidi berkata pihaknya sentiasa melakukan yang terbaik untuk melindungi penyu.
“Namun kita perlu faham bila kita kata operasi perairan ini tak sama seperti di darat yang boleh dilakukan bila-bila masa,” katanya.
Awal bulan ini, operasi Jabatan Perikanan Terengganu berjaya merampas 35 pukat pari di Kemaman dan Dungun, tambahnya.
Tidak wajar salahkan nelayan
Sementara Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rosli berkata beliau tidak bersetuju jika pihak berkuasa terus merumuskan 100 peratus kematian penyu kerana aktiviti perikanan.
Katanya, perkara itu harus dilihat dari pelbagai sudut, dan kerana itu siasatan terperinci mustahak.
“Bagi saya kita tak boleh berlaku zalim nak letak perkara itu hanya pada satu tempatnya atau kesalahan kepada nelayan semata-mata. Sebagai contoh ada seekor penyu mati dan kita lihat ada kesan rekahan pada badannya.
“Kita terus anggap penyu itu mati kerana bot langgar. Betulkah ia mati kerana bot langgar atau sudah mati sebelum itu lagi,” katanya.
Uzair memberikan contoh kes anak penyu yang ditemui mati di Redang pada Januari lalu, yang dianggapnya “tidak normal” kerana anak penyu biasanya akan kembali ke tempat ia menetas selepas umurnya matang.
“Kalau ikut pemahaman lama penyu itu mati kerana pukat tapi kejadian ini sangat luar biasa bagi kita dan perlukan kajian mendalam,” katanya.
Terengganu mempunyai 52 lokasi pendaratan penyu antaranya Teluk Mak Nik di Kemaman dan di Pulau Redang.
Uzair juga berkata penyelidikan penyu di UMT sebelum ini hanya untuk memahami habitat tetapi sekarang sudah berkembang termasuk kepada soal memberi pemahaman kepada masyarakat yang terkait.
Selain Jabatan Perikatan, UMT turut bekerjasama dengan tujuh pertubuhan yang aktif dalam kerja-kerja pemuliharaan penyu di negeri itu.
Bina hubungan baik dengan nelayan
Menurut Uzair, Jabatan Perikanan sepatutnya membina jaringan hubungan yang baik dengan nelayan untuk menyelamatkan penyu.
Katanya, nelayan bukan tiada kesedaran atau pengetahuan mengenai penyu namun mereka takut dengan hukuman atau penguatkuasaan.
“Kita tidak boleh salahkan nelayan seratus peratus. Bagi saya mereka buat kerja mereka (tangkap ikan) dan bila nampak ada penyu tersekat dalam pukat mereka akan lepaskan.
“Penyu ini bila sudah terlalu lama terperangkap dalam air keadaannya lemah dan tidak boleh berenang lagi. Nelayan akan lepaskan kerana takut kalau mereka selamatkan penyu perlu buat laporan.
“Perlu pergi kepada banyak pihak dan mereka juga takut kalau didakwa padahal mereka bawa penyu itu untuk diselamatkan,” katanya.
Jelas Uzair, kerja pemuliharaan haiwan tidak boleh terlalu bertumpu pada aspek hukuman tetapi perlu pada usaha mendidik, yang tentunya akan disambut baik dan memberi imej positif kepada Jabatan Perikatan. – 19 Mac, 2022.