Iklan

Timbalan premier Sarawak ingatkan 200,000 rakyat suntik dos penggalak

Desmond Davidson3 years ago22nd Mar 2022Berita
Vaccination senior citizen tmi 05
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Timbalan Premier Douglas Uggah berkata rakyat yang mempunyai komorbiditi, orang cacat, pekerja penjagaan kesihatan, warga emas dan penerima vaksin Sinovac  merangkumi 80.9 peratus daripada keseluruhan yang telah mendapat suntikan penggalak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2022.
Iklan

SIKAP tidak peduli memperlahankan usaha pemberian vaksin penggalak Covid-19 di Sarawak, yang menyebabkan pihak berkuasa negeri bimbang dengan kesan varian Omicron kepada rakyatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Timbalan Premier Douglas Uggah berkata 208,486 rakyat Sarawak yang layak menerima suntikan penggalak masih belum hadir mendapatkannya.

“Kepada mereka, saya ingin cakap: ‘jangan main-main dengan kematian, terutamanya mereka warga emas dengan komorbiditi’.”

“Jika anda ada saudara dan rakan yang belum dapatkan dos penggalak, sila nasihatkan mereka untuk mendapatkannya dengan segera,” katanya.

Uggah berkata terdapat banyak bukti dos penggalak membantu individu melindungi diri mereka daripada varian Omicron.

Setakat 19 Mac, virus itu menjangkiti 285,748 orang di Sarawak sejak kes pertama dikesan pada 2020, membunuh 1,652 daripadanya.

Terdapat tiga lagi kematian dilaporkan pada Sabtu melibatkan dua wanita warga emas 79 dan 73 tahun serta seorang lelaki 82 tahun. Mereka mempunyai masalah kesihatan yang serius, meninggal dunia pada Khamis. Kematian mereka akibat Covid-19 hanya disahkan hari ini.

Sementara itu, pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Ooi Choo Huck memberitahu The Malaysian Insight mereka yang masih belum datang untuk suntikan penggalak bukanlah antivaksin.

“Kami tidak ada sebarang isu dengan antivaksin setakat ini.”

Beliau berkata statistik akan menunjukkan Sarawak mempunyai kadar penerimaan yang tinggi terhadap vaksinasi dos penggalak dan negeri itu merupakan antara negeri yang berprestasi tinggi di negara ini.

Uggah berkata setakat 16 Mac, 80.4 peratus daripada penduduk Sarawak yang layak – yang berumur 18 tahun dan ke atas – mendapat suntikan penggalak mereka.

Tegasnya rakyat yang mempunyai komorbiditi, orang cacat, pekerja penjagaan kesihatan, warga emas dan penerima vaksin Sinovac  merangkumi 80.9% daripada keseluruhan yang  mendapat suntikan penggalak.

Antara yang mempunyai komorbiditi, 84.7% daripada mereka mendapat suntikan penggalak, 80.6% di kalangan orang kurang upaya, pekerja penjagaan kesihatan (95.7%), warga emas (85.5%) dan penerima vaksin Sinovac (82.3%).

Laman web CovidNow Kementerian Kesihatan pada 17 Mac menunjukkan sebanyak 1,030 suntikan booster diberikan di negeri ini setiap hari dan sehingga kini 1,538,432 rakyat Sarawak mendapatkan suntikan.

Dr Ooi berkata walaupun Jabatan Kesihatan negeri menghadapi kesukaran untuk menghubungi orang ramai di kawasan terpencil di negeri ini, namun perkhidmatan kesihatan bergerak jabatan itu masih mampu menghubungi mereka.

Laman web CovidNow Kementerian Kesihatan pada 19 Mac menunjukkan 1,030 suntikan penggalak telah diberikan di negeri ini setiap hari dan sehingga kini 1,538,432 rakyat Sarawak menerima suntikan. – 22 Mac, 2022.

Iklan
Iklan