Sempadan buka 1 April tapi tempahan pelancong hambar, kata pengusaha di Terengganu
Iklan
TEMPAHAN pelancong asing ke destinasi tarikan di Terengganu masih hambar biarpun kerajaan akan membuka pintu sempadan bermula 1 April ini, kata pengusaha pelancongan.
Sambutan itu suram antaranya kerana kurang promosi menghebahkan pembukaan sempadan negara, selain tiada maklumat lengkap dan panduan menerima pelancong asing.
Pengurus Pelangi Resort di Pulau Redang, Foo Ee Lin berkata ramai pelancong asing sebenarnya tidak tahu Malaysia akan membuka pintu sempadannya semula, selepas ditutup untuk membendung penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu.
“Saya boleh kata sambutan tidak ada sebenarnya. Setakat ini pihak resort hanya terima satu tempahan daripada pelancong luar.
“Pertanyaan pun tidak banyak yang hubungi kita, cuma dua orang pelancong saja. Saya rasa sebab kurang promosi untuk menguar-uarkan sempadan kita sudah dibuka,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau juga percaya tidak ramai pelancong berani hendak mengembara sekarang kerana kes Covid-19 yang masih meningkat, walaupun Malaysia kini dalam fasa peralihan keluar daripada pandemik.
Foo bimbang sekiranya keadaan suram ini berterusan, sukar untuk mereka memulihkan perniagaan yang terjejas sejak dua tahun lalu.
“Memang perniagaan kita sukar, masih bergelut. Hotel kita bergantung 50 peratus pelancong asing dan selebihnya pelancong tempatan. Tapi pelancong masih tak ramai sekarang.
“Bagi saya banyak faktor yang sebabkan perkara ini berlaku termasuk keadaan ekonomi yang tidak berapa baik kerana orang tidak ada duit dan mereka berjimat dan tidak akan keluarkan wang yang bukan menjadi keperluan mereka,” katanya.
Awal tahun ini, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Zuraini Abdul Ghani berkata, pemulihan sektor pelancongan di Terengganu dijangka perlahan kerana pelancong tempatan masih bimbang penularan Covid-19, sementara sempadan negara masih ditutup kepada pelancong asing.
Pelancongan adalah sektor kedua terpenting bagi Terengganu tetapi terjejas teruk kerana pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada 2019, Terengganu menerima 5.9 juta pelancong domestik tetapi hanya 2.7 juta sahaja pada 2020. Tiada data kemasukan pelancong yang diterima The Malaysian Insight bagi tahun 2021.
Awal Januari juga, exco pelancongan Ariffin Deraman mengumumkan sasaran kemasukan tiga juta pelancong ke Terengganu tahun ini iaitu dua juta lebih rendah berbanding tahun lalu, susulan keadaan yang tidak menentu.
Beberapa daerah di Terengganu juga mengalami banjir besar pada hujung Februari menyebabkan ada pengusaha pelancongan rugi kerana kerosakan akibat bencana.
Keadaan bagaimanapun berbeza bagi penggiat pelancongan di Pulau Perhentian yang menerima sambutan menggalakkan menjelang pembukaan semula sempadan.
Namun Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, pihaknya keliru kerana tiada maklumat lengkap berhubung panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang jelas.
Katanya, kekeliruan itu menyebabkan ramai pengusaha yang tidak dapat mengambil tempahan daripada pelancong luar.
“Pengusaha memang keliru. Kita hanya tahu kerajaan nak buka sempadan tapi macam itu sahaja… segala perincian kita tidak tahu seperti contoh adakah pelancong wajib mengambil insurans sebagai syarat datang ke Malaysia.
“Kita pengusaha ini terima banyak pertanyaan dari pelancong luar. Memang tak putus-putus. Bila pelancong tanya mereka nak datang ke pulau, apa SOP yang mereka perlu ikut, kita pun tak dapat nak jawab,” katanya.
Beliau merayu kepada kerajaan dan kementerian pelancongan untuk segera mengeluarkan panduan atau SOP yang lebih jelas bagi pelancong asing yang datang ke Malaysia.
Kelewatan kerajaan mengeluarkan SOP boleh menyebabkan kerugian kepada pengusaha yang begitu mengharapkan perniagaan mereka akan dapat pulih apabila pintu sempadan dibuka.
“Pulau Perhentian sangat bergantung kepada pelancong luar. Lebih 70 peratus pelancong ke Pulau Perhentian adalah pelancong luar.
“Dua tahun pintu sempadan ditutup Pulau Perhentian ini rindu kepada pelancong. Jadi saya rayu kepada kerajaan tolonglah umum segera dan beri penjelasan kepada pengusaha berhubung perkara ini.
“Tambah pula nak masuk bulan puasa, pelancong tempatan akan kurang… kalau dulu kita tak ada masalah kerana ada pelancong luar,” katanya.
Abdul Aziz juga berkata, pihaknya ada menghubungi pihak pelancongan negeri namun maklumat yang diterima juga tidak lengkap.
Susulan pengumuman pembukaan sempadan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) ada mengeluarkan beberapa SOP antaranya rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.
Kuarantin juga tidak diperlukan bagi individu yang menerima vaksinasi lengkap, sebalilknya mereka hanya perlu melalui ujian pengesanan RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.
Bagaimanapun, bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, akan diperincikan prosedurnya oleh Menteri Kesihatan.
Bagi pemilik Redang Bay, Lim You Jing beliau tidak dapat menerima tempahan pelancong luar buat masa ini kerana menangguhkan operasi selepas resortnya rosak akibat cuaca buruk hujung Februari.
“Biasanya operasi resort kami akan bermula 1 Mac, namun disebabkan keadaan cuaca buruk yang luar biasa, kita masih belum dapat beroperasi sepenuhnya.
“Kita perlu masa mungkin dua minggu untuk kerja-kerja baik pulih,” katanya. – 21 Mac, 2022.