RM100 juta infrastruktur rosak di Hulu Terengganu akibat banjir, kata exco
Iklan
BANJIR teruk di Hulu Terengganu hujung bulan lepas menyebabkan kerosakan infrastruktur sehingga RM100 juta dengan RM60 juta daripadanya melibatkan aset Tenaga Nasional Berhad (TNB), kata exco Dr. Mamad Puteh.
Beliau yang memegang portfolio Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata kerosakan yang ditaksir itu membabitkan beberapa jambatan yang runtuh antaranya Jambatan Belukar Bukit dan Jambatan Stesen Jana Kuasa Elektrik Sultan Mahmud.
TNB juga menanggung kerugian yang sangat banyak memandangkan beberapa menara kabel elektriknya rosak, katanya.
“Bagi kerosakan infrastruktur di Hulu Terengganu ia melibatkan beberapa buah jambatan yang runtuh dan kita anggarkan kerugian dalam RM100 juta.
“Jumlah ini juga termasuk kerugian TNB sebanyak RM60 juta dan ini yang apa yang dimaklumkan kepada kita dalam lawatan baru-baru ini,” katanya kepada media selepas pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Kerosakan aset TNB turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di sekitar Tasik Kenyir namun tidak menjejaskan keseluruhan pengguna di Hulu Terengganu.
“Kita tahu Tasik Kenyir membekalkan 400 megawatt yang dimasukkan kepada Grid Nasional tapi TNB ada juga alternatif lain.
“Jadi bagi kawasan di Kuala Berang saya dimaklumkan keupayaaan bekalan elektrik mencukupi tapi jika penggunaan kapasitinya meningkat mungkin akan sedikit terjejas,” katanya.
Tambahnya bagi mengatasi masalah itu TNB kini sedang membina menara elektrik sementara bagi menampung penggunaan elektrik.
“Kita berharap menara sementara ini dapat disiapkan segera sekurang-kurangnya sebelum sambutan Hari Raya memandangkan kita tahu penggunaan elektrik pada waktu itu akan meningkat,” katanya.
Pada hujung Februari, Terengganu dilanda banjir besar dan daerah Hulu Terengganu antara yang paling terjejas teruk.
Operasi SJSM ditutup sementara kerana menara penghantaran voltan tinggi tumbang dalam kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat luar biasa pada 25 Februari lalu.
TNB sebelum ini memberi jaminan yang bekalan elektrik pengguna di pantai Timur tidak akan terjejas susulan penutupan sementara itu kerana bekalan yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional adalah mencukupi. – 21 Mac, 2022.