Iklan

Terengganu tidak teruskan projek Taman Ilmu yang terbengkalai, kata exco

Diyana Ibrahim3 years ago22nd Mar 2022Berita
275846040 511748726980452 1588401887245227468 n
Exco Terengganu Satiful Bahri Mamat berkata negeri itu tidak bercadang meneruskan pembinaan Taman Ilmu di Tembila Besut kerana kosnya tinggi selain berdepan kekangan kes mahkamah. – Gambar Facebook, 22 Mac, 2022.
Iklan

TERENGGANU tidak bercadang untuk meneruskan pembinaan Taman Ilmu di, Tembila Besut yang terbelengkalai lebih 10 tahun lalu kerana kosnya tinggi selain berdepan kekangan kes mahkamah, kata exco Satiful Bahri Mamat.

Projek yang tertangguh itu sudah dirujuk ke mahkamah melalui beberapa tindakan saman melibatkan kerajaan negeri dan pemaju, termasuk POSC TI yang sudah gulung tikar.

POSC TI merupakan syarikat yang pernah diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri pada 2013 untuk membangunkan semula projek yang terbengkalai selepas dimulakan pada 2004.

Saiful Bahri berkata kos baik pulih semula Taman Ilmu itu memakan belanja sekurang-kurangnya RM400 juta, jauh lebih tinggi berbanding kos awal pembinaannya yang dianggarkan RM300 juta.

“Setakat ini kita tunggu selesai kes mahkamah dahulu, kerajaan negeri ada dua lagi kes mahkamah pada 22 Mac dan 4 April ini melibatkan saman yang dikemukakan  kontraktor kepada POSC TI Sdn Bhd.

“Tapi kerana syarikat itu telah gulung tikar jadi mereka telah kemukakan saman kepada kerajaan negeri. 

“Kemudian kita juga ada buat lawatan dan diberitahu kos nak baiki projek itu sangat tinggi, jadi memandangkan terlalu banyak isu kita rasa sukar untuk kita lakukan pembangunan semula di situ,” kata exco yang memegang Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi pada Sidang DUN hari ini.

Taman Ilmu merupakan projek sakit kerajaan negeri yang terbelengkalai sejak 2004. Ia merupakan projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai timur (ECER) semasa pentadbiran Barisan Nasional bagi menempatkan enam buah institut pengajian tinggi (IPT) dengan melibatkan kawasan seluas 280 hektar.

Kerajaan BN merancang projek itu selepas merampas semula pentadbiran negeri pada 2004 daripada PAS yang menang pilihan raya umum 1999.

Pada 2013 kerajaan negeri melantik syarikat POSC TI untuk membangunkan semula dan menguruskan projek Taman Ilmu itu. Ia kemudian melantik 17 syarikat sebagai subkontraktor.

Menteri Besar Terengganu pada masa itu Ahmad Razif Abdul Rahman kemudian bagaimanapun menamatkan kontrak POSC T1.

Pada 2016 kerajaan negeri membayar RM45 juta kepada POSCT TI selepas syarikat itu mahu menyaman kerana isu penamatan kontrak.

Pada 2018 selepas PAS mengambil alih kerajaan negeri, enam sub kontraktaktor di bawah syarikat POSCT TI menyaman kerajaan negeri berhubung perkara sama.

Mengulas lanjut Satiful Bahri berkata kerajaan negeri pada 2020 ada menawarkan enam sub kontraktor itu untuk membaik pulih projek tersebut dengan kos bernilai RM24 juta.

“Tapi tawaran kita ditolak dan kita sedang dalam perbincangan lagi bersama syarikat kontraktor tersebut menyelesaikan isu ini,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata ketika ini hanya dua blok bangunan asrama Taman Ilmu yang dapat digunakan dan ia diserahkan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Kerajaan negeri juga akan menukarkan tapak bangunan kolej universiti milik kerajaan negeri yang sepatutnya dibina di Taman Ilmu, katanya.

“Seperti yang kita kata kos itu terlalu tinggi RM400 juta berbanding nak buat kolej universiti dengan kos RM350 juta sahaja baik kita buat di kawasan baharu,” katanya.

Kolej universiti itu akan ditempatkan di Durian Mentagau, Dungun dan proses pembinaannya akan bermula tahun ini. – 22 Mac, 2022.

Iklan
Iklan