Iklan

Terengganu tak halang kahwin walau ramai remaja cerai, kata exco

Diyana Ibrahim3 years ago23rd Mar 2022Berita
007a4698-4486-41f7-a0d9-e2debb5b1bb9
Exco hal ehwal agama Terengganu Mohd Nor Hamzah berkata negeri itu tidak ada rancangan untuk menyekat pasangan remaja berkahwin walaupun kes cerai melibatkan golongan itu tinggi. – Gambar The Malaysian Insight. 23 Mac, 2022.
Iklan

TERENGGANU tiada ada rancangan untuk menyekat pasangan remaja berkahwin walau jumlah kes perceraian melibatkan golongan itu tinggi, kata exco hal ehwal agama Mohd Nor Hamzah.

Beliau memberitahu Dewan Undangan Negeri, kes perceraian tinggi di kalangan pasangan muda itu masih boleh dibendung dengan didikan dan kefahaman perkahwinan berlandaskan syariah.

“Cinta ini macam di lautan. Bila dah berombak susah kita nak sekat bahkan Rasullah juga berpesan kepada anak muda jika ada keupayaan berkahwin, kerana ia boleh merendahkan pandangannya.

“Tapi jika tidak mampu berpuasalah. Sebab itu kita tak bendung pasangan muda ini nak berkahwin, tapi kita didik mereka dengan program khusus dibangunkan jabatan agama bagi pasangan berkahwin,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan itu berkata, faktor utama kes perceraian dikenalpasti dari sikap tidak bertanggungjawab pasangan dan lemah didikan agama.

“Bagi alasan tidak bertanggungjawab sebanyak 343 kes yang kita terima dan 342 pula bagi lemah didikan agama ini bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas,” katanya.

Sebanyak 2,433 kes perceraian yang direkodkan di Terengganu dari Januari hingga Oktober tahun 2021, katanya yang tidak memperincikan jumlah keseluruhan kes pasangan muda yang bercerai dan usia remaja terbabit.

Mohd Nor menjawab soalan Adun Ajil Maliaman Kassim mengenai usaha kerajaan membendung perkahwinan pasangan muda bagi mengelak kadar perceraian yang tinggi di kalangan golongan itu.

Maliaman dalam soalannya mendakwa kebanyakan pasangan muda dipaksa berkahwin oleh ibu bapa walaupun belum bersedia.

“Kalau ikut keadaan semasa remaja cerai, mereka kahwin di peringkat usia yang awal iaitu 18, 19 tahun, mereka ini bukan nak bernikah tapi nak bercinta sahaja.

“Tapi sebab mak ayah dah tengok jadi mereka dipaksa berkahwin dalam keadaan tidak bersedia,” kata Maliaman.

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 Terengganu mengekalkan had umur minimum untuk berkahwin 18 tahun bagi orang Islam lelaki 16 tahun bagi pasangan perempuan,.

Perkahwinan bawah umur juga masih dibenarkan atas sekiranya pasangan perempuan didapati melahirkan anak, sedang mengandung atau pasangan tersebut telah terlanjur.

Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd dilaporkan berkata berkata kelulusan permohonan perkahwinan tidak akan diberi sewenang-wenangnya kecuai atas tiga faktor tersebut.

Beliau berkata sebanyak 397 permohonan diluluskan daripada keseluruhan 444 yang diterima untuk perkahwinan di bawah umur sejak 2013 hingga 2018. – 23 Mac, 2022.

Iklan
Iklan