Iklan

Persekutuan perlu bayar tunai RM1.43 bilion, kata MB Terengganu

Diyana Ibrahim3 years ago24th Mar 2022Berita
Samsuri
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu akan dibincangkan lanjut dengan menteri kewangan bagi penyediaan kertas kabinet pada Isnin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2022.
Iklan

TUNGGAKAN hutang RM1.43 bilion bagi pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) perlu dibayar tunai dan bukan melalui projek, kata Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau memberitahu Dewan Undangan Negeri, perkembangan isu tersebut positif dan akan dibincangkan lanjut dengan menteri kewangan bagi penyediaan kertas kabinet pada Isnin.

Ia berbeza dengan beberapa perbincangan dan perundingan terdahulu termasuk jawapan dari kerajaan pada Oktober yang menurutnya tidak produktif.

“Kini sudah ada petanda yang lebih positif, di mana insya Allah perbincangan antara menteri dan saya untuk penyediaan kertas kabinet mengenai isu hutang LPT2 akan diadakan pada 28 Mac nanti di Putrajaya,” katanya.

Dalam ucapan penggulungannya di sidang tersebut, beliau berkata kerajaan persekutuan membayar balik sebanyak RM418.5 juta daripada jumlah yang dituntut sebanyak RM1.85 juta.

“Bayaran itu dalam bentuk projek bagi pembinaan Jalan Awana Kijal sebanyak RM118.5 juta dan projek perumahan mampu milik sebanyak RM100 juta selain pendahuluan tunai RM200 juta,” katanya.

LPT2 sepanjang 184 kilometer dari Jabor, Kemaman ke Gemuroh, Kuala Nerus siap dibina dan dibuka kepada lalu lintas pada 2014  melibatkan peruntukan keseluruhan RM4.25 bilion.

Semasa pentadbiran Barisan Nasional, Terengganu telah mendahulukan wang kerajaan negeri sebanyak RM1.85 bilion bagi pembinaan projek tersebut.

Pada November lalu, Samsuri mendedahkan Kementerian Kewangan tidak mengiktiraf tunggakan hutang berhubung Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP) dan pembinaan LPT2.

Beliau pada waktu itu memberitahu DUN, kementerian tidak mengiktiraf baki tersebut sebagai hutang kepada kerajaan Terengganu, yang tidak dipersetujui kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan persekutuan sewaktu diterajui Barisan Nasional (BN) dalam kertas kabinet memberi kelulusan pembayaran tunggakan hutang tersebut.

Malah, tunggakan hutang itu sudahpun dibayar oleh kerajaan persekutuan melalui pembayaran dalam bentuk (PIK) sebelum tahun 2019.

Katanya, kerajaan persekutuan tidak akan membayar dalam bentuk sedemikian jika tidak mengiktiraf hutang berkenaan.

Pentadbiran PAS pimpinan menteri besar Ahmad Samsuri Mokhtar menerima bayaran royalti peringkat pertama bagi tahun 2018 dan 2019 yang dibuat secara tiga kali berjumlah RM450 juta.

Anggaran keseluruhan yang akan diterima dianggar mencecah RM1.6 bilion dengan baki bayaran seterusnya sepatutnya diterima September lalu.

Ketika PAS menguasai Terengganu selepas pilihan raya umum (PRU) 1999, wang royalti itu dibayar sebagai wang ehsan melalui jawatankuasa kawalan BN.

Ia disalurkan semula secara terus kepada kerajaan negeri apabila Terengganu jatuh semula ke tangan BN dalam PRU seterusnya.

Bayaran itu  membolehkan Terengganu menceburi pelaburan melalui Badan Kuasa Pelaburan Terengganu (TIA) bawah BN.

Dana kedaulatan itu diubah menjadi syarikat pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang seterusnya dibelit kontroversi dan menjadi skandal kewangan terbesar dunia.

Terengganu kembali ditadbir PAS selepas PRU 2018 dan menerima bayaran royalti berkenaan seperti dijanjikan oleh kerajaan persekutuan baharu pimpinan PH. – 24 Mac, 2022.

Iklan
Iklan