Hak pendidikan wanita tak berbangkit dalam Islam, kata exco Terengganu
Iklan
SKIM khas untuk menggalakkan wanita menyertai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) tidak perlukan kerana ia perlu diagihkan secara saksama, kata exco Terengganu Satiful Bahri Mamat
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi itu berkata, perjuangan hak wanita dalam pendidikan seperti itu juga lebih kepada fahaman Barat.
“Isu gender ini tidak berbangkit dalam Islam sebab perkara ini kadang terbawa daripada perjuangan feminin di barat yang menuntut hak itu berdasarkan apa yang berlaku dalam latar belakang barat.
“Tapi dalam Islam tak berbangkit dalam menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu fardu ke atas lelaki dan perempuan.
“Masalah (kepemimpinan) pun sama. Antara lelaki dan perempuan perlu memimpin satu sama lain. Dan kalau kita lihat sejarah sirah pun tak berbangkit,” katanya.
Oleh itu pemberian insentif khas tidak wajar diberikan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar wanita semata-mata kerana menurutnya ia patut diagih secara saksama tanpa mengira gender.
“Kita kena beri berdasarkan merit. Tak boleh kata nak beri kuota 30% untuk perempuan. Tidak boleh begitu kerana ia mesti berdasarkan keupayaan dan apa yang boleh ditawarkan mesti setanding dengan orang lain.
“Saya melihat orang perempuan tak boleh ambil kesempatan sebab dia perempuan tak bolehlah masuk barisan VIP (orang kenamaan). Kita kena sama, bagi kepada semua anak Terengganu,” katanya.
Jawapan itu mengundang celahan Adun wanita lantikan, Zuraida Md Noor yang berkata, isu berkenaan dibangkitkannya di peringkat awal perbahasan kerana wanita kurang terlibat dalam Stem.
Zuraida berkata isu tersebut turut dibangkitkan di Parlimen dan berharap semua pihak termasuk kerajaan negeri mendukung usaha ke arah lebih ramai golongan wanita menceburi bidang itu.
Satiful bagaimanapun dalam jawapan lanjutnya menafikan wanita kurang terlibat dalam bidang Stem dan berpendapat Zuraida seolah-olah gagal memahami penjelasannya.
“Saya tak tahu macam mana Adun wanita dapat fakta ini sebab kalau kita tengok dari biasiswa Yayasan Terengganu bagi pelajar cemerlang yang terima biasisiwa ini ramai orang perempuan.
“Sampai kita jadi bingung orang lelaki kurang (dapat biasiswa).
“Patutnya kita kena buat hak sama juga untuk lelaki. Sebab itu bagi saya tak berbangkitlah hak (penglibatan) wanita kurang begitu juga melibatkan Stem,” katanya.
Keperluan galakan kepada wanita melanjutkan pelajaran dan memilih Stem sebagai bidang kerjaya pilihan diakui sendiri oleh seorang timbalan menteri dari PAS.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Amzad Hashim berkata supaya lebih ramai wanita melanjutkan pelajaran dan memilih Stem sebagai bidang kerjaya pilihan.
Amzad ketika menjawab soalan lisan di Parlimen pada Mac berkata kementerian melaksanakan 13 program sepanjang tahun lalu bagi menggalakkan penglibatan golongan itu dalam Stem. – 24 Mac, 2022.