Iklan

Pasukan penyelamat bawa pelajar 110kg turun bukit curam di Sarawak

Desmond Davidson3 years ago25th Mar 2022Berita
Swinburne student - gunung bung muan - bau - march 25, 2022  full
Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira empat jam bagi membawa turun pelajar seberat 110 kg menuruni bukit di Bau, Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Mac, 2022.
Iklan

SEPASUKAN anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pertahanan Awam dibantu penduduk tempatan mengambil masa kira-kira empat jam bagi membawa seorang pelajar berusia 110kg di atas pengusung menuruni bukit berhampiran bekas kawasan perlombongan emas di Bau, Sarawak ke tempat selamat lewat malam tadi.

Pelajar berusia 18 tahun itu dan tujuh rakan kolej lain termasuk tiga perempuan sebelum itu melakukan aktiviti pendakian di Gunung Bung Muan.

Ketika separuh perjalanan ke puncak pelajar itu mengadu sesak nafas.

Jabatan Bomba berkata pelajar itu mempunyai beberapa masalah kesihatan termasuk obesiti dan jantung.

Pelajar itu dilaporkan berada kira-kira 4km dari kaki bukit.

Rakan-rakannya kemudian meminta bantuan selepas tidak dapat membantu pelajar berkenaan turun.

Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata mereka menerima panggilan “bantuan khas” pada jam 3.20 petang dan mereka menghantar lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau diketuai oleh pegawai bomba Daniel Teo Wee Chiet.

Anggota bomba bertolak dari Kampung Podam kira-kira jam 4 petang menuju ke lokasi pelajar berkenaan berada.

Lokasi itu kira-kira 3.7km ke atas dan bomba berkata mereka mengambil masa dua jam setengah untuk tiba.

Lapan anggota Pertahanan Awam dan lapan penduduk kampung itu memulakan pendakian ke gunung berkenaan sejam kemudian.

Berat pelajar, kawasan gelap, laluan curam dan sempit menyebabkan perjalanan menurun sangat perlahan, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mereka tiba di kaki gunung kira-kira jam 10.20 malam.

Abang pelajar berkenaan yang menunggu di situ segera membawanya ke hospital swasta di Kuching yang terletak sejauh kira-kira 24km.

Tujuh rakan pelajar itu berjaya tiba di bawah dua jam lebih awal dalam keadaan letih dan dahaga. – 25 Mac, 2022.

Iklan
Iklan