Kejayaan di Johor cetus minat pada Muda di Terengganu
Iklan
KEJAYAAN Muda dalam pilihan raya negeri Johor mencetus minat baharu ke atas parti tersebut di Terengganu, kata pengerusi penajanya di negeri itu, Asyrul Malik.
Biarpun belum lagi dapat beroperasi secara rasmi di negeri didominasi parti konservatif PAS dan Umno, jumlah anggota terkini Muda di negeri itu sudahpun mencecah hampir 1,000 ahli, katanya.
Asyrul memberitahu The Malaysian Insight, jumlah keahlian itu meningkat selepas Muda berjaya memenangi kerusi DUN tunggalnya, Puteri Wangsa, dalam pilihan raya negeri Johor.
“Masa Muda ditubuhkan, kami tak sasarkan pun di Pantai Timur sebab kita tahu yang sertai Muda ini banyak dari mereka di bandar.
“Kalau di Terengganu di bandar kecil, luar bandar kita tahu tak ada sambutan sangat. Tapi selepas Muda dilancarkan, keahlian makin melonjak apabila kita menang satu kerusi di PRN Johor.
“Maksudnya orang sudah lihat Muda dan nampak apa yang kita cuba tawarkan,” katanya.
Asyrul berkata, ia menunjukkan betapa pengundi muda di negeri itu dahagakan perubahan dan tidak mahu terus terperangkap dengan cara politik lama.
“Ini cita-cita kami di Terengganu, ia tidak besar tapi cukup untuk menjadi titik tolak kepada perubahan di negeri ini. Kita lihat Terengganu dipelopori politik Umno dan PAS sekian lama.”
Jelasnya, Muda menawarkan politik khidmat dan dasar yang menurutnya membezakan parti baharu itu dengan pembangkang lain seperti PKR, Amanah dan Pejuang.
Anak jati kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata biarpun ada beberapa parti pembangkang lain seperti PKR, Amanah dan Pejuang namun masih kurang diterima oleh rakyat negeri itu.
“Sebab kita tengok Amanah diwujudkan tapi tak dapat nak ubah persepsi kerana bagi mereka Amanah anak kelahiran PAS, Bersatu pula anak kelahiran Umno.
“PKR seperti yang kita tahu memang tak dapat perhatian dari presidennya Anwar Ibrahim kerana mereka lebih menumpukan di bahagian bandar dan utara,” kata anak kelahiran Dungun itu.
Ketika ditanya, beliau berkata Muda juga tidak tidak bercita-cita menawan keseluruhan negeri itu dalam PRU15.
Beliau mengakui keadaan itu agak mustahil berlaku di Terengganu kerana negeri itu pusat penyokong tegar PAS dan Umno yang sukar menerima parti luar.
“Kami tidak sasarkan untuk memerintah negeri Terengganu secara keseluruhan sebab kami faham ideologi PAS sudah tertanam sekian lama dalam jiwa dan raga mereka, Umno juga.
“Tapi dengan perkara tersebut kami sentiasa berusaha memenangi hati rakyat dan mengubah Malaysia secara total.
“Untuk tujuan tersebut kami rasakan Muda Terengganu ada peluang dapatkan mandat dan mewakili suara mereka dalam DUN atau Dewan Rakyat, kalau tak menang semua tapi tetap ada juga suara yang diwakili,” katanya.
Muda mula dikenali di Terengganu sewaktu parti itu giat menggerakkan misi bantuan semasa negeri itu dilanda banjir buruk pada hujung Februari.
Seterusnya, Muda akan menumpukan kepada usaha memperjuangkan kepentingan rakyat seperti keciciran dari menerima bantuan yang merupakan isu amat besar buat rakyat, kata Asyrul.
“Kami akan fokus kepada isu permasalahan rakyat seperti contoh isu tular di Terengganu iaitu bantuan i-Fitri yang baru dilancarkan,” katanya.
Jelasnya, ramai rakyat mengeluh kerana banyak syarat yang dikenakan untuk mendapat bantuan dalam jumlah kecil yang diperkenal sewaktu pentadbiran Barisan Nasional itu.
“Dan mereka (dikenakan) pelbagai syarat dan ini menyusahkan rakyat, nak isi borang dan kena lalui banyak proses.
“Memang ia menyusahkan rakyat. Masalah ini kecil bagi kerajaan negeri tapi besar di mata rakyat dan ini yang kami cuba rungkai dan selesaikan ikut diplomasi dan saluran yang betul,” katanya
Bantuan sempena Hari Raya Aidilfitri itu disasarkan kepada isi rumah dari golongan M40 dan B40 di negeri itu, yang masing-masing layak menerima sebanyak RM450 dan RM250.
Asyrul berkata ketika ini Muda sedang mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk membuka cawangan negeri yang dijangka selesai pertengahan April.
Pada masa sama, Muda juga akan menumpukan usaha membuka cawangan di lapan kawasan Parlimen di Terengganu .
Asyrul berkata kebanyakan ahli berdaftar dengan parti itu pada masa ini dikenalpasti dari kalangan penduduk Terengganu dan juga yang bekerja di luar negeri itu.
“Buat masa ini kita belum ada data lengkap berapa peratus. Pengundi kita memang tinggal di Terengganu ataupun mereka yang asal di Terengganu tapi bekerja di luar,” katanya.
Muda ditubuhkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas bekas menteri itu disingkirkan dari Bersatu apabila pentadbiran negara diambil alih Perikatan Nasional.
Menurut Muda, parti itu setakat ini berjaya mendaftar 76,000 ahli berusia antara 18 hingga 83 tahun setakat Februari dengan pelbagai latar belakang masyarakat. – 26 Mac, 2022.