Iklan

Industri pelancongan Sarawak tidak tergesa-gesa walau sempadan dibuka 1 April

Desmond Davidson3 years ago27th Mar 2022Berita
49974166208 186cfe6ae0 b
Binaan konkrit memperagakan beberapa ekor kucing menjadi antara mercu tanda Bandaraya Kuching, ibu negeri Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2022.
Iklan

PEMAIN industri pelancongan di Sarawak yang terjejas kerana Covid-19 tidaklah benar-benar gembira dengan berita sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong asing.

“Tiada siapa tergesa-gesa untuk kembali membuka perniagaan,” kata Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan & Pengembaraan Malaysia (Matta) bahagian Sarawak, Choo Chon Foong.

Choo berkata pandemik bukan sahaja menjejaskan mereka sebagai ejen pelancongan, ia hampir memusnahkan mereka.

“Kebanyakan daripada kami hanya tinggal lesen sebagai ejen pelancongan. Dalam urusan perniagaan, kami kembali kepada asal,” katanya.

“Kami perlu memulakan semula sekali lagi. Kami tidak mempunyai pekerja, tiada aset, rangkaian perniagaan yang rosak, di dalam dan di luar negara dan kami sangat kekurangan modal.

“Sekarang anda tahu mengapa kami tidak tergesa-gesa. Kami juga langsung tidak tahu apa yang boleh dijangkakan apabila sempadan dibuka semula. Tidak ada idea sama sekali,” kata Choo kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata setakat 25 Mac, 20% daripada 150 ahli dalam bahagian Matta Sarawak masih belum memperbaharui lesen mereka, sambil menambah segelintir tidak mungkin menanti sempadan dibuka semula kerana mereka menutup operasi selama-lamanya.

Choo berkata, mereka yang berjaya bertahan tidak mempunyai pekerja kerana terpaksa melepaskan mereka apabila pelancong tidak datang.

Mereka kemudiannya memulakan pelucutan aset, seperti menjual van dan kenderaan yang digunakan untuk mengangkut pelancong bagi menamatkan pembayaran balik pinjaman bulanan untuk terus bertahan.

Choo berkata, gaji minimum baharu RM1,500 yang akan berkuat kuasa pada Mei juga menjejaskan rancangan mereka membuka semula perniagaan.

“Ia tidak baik untuk memulihkan industri seperti kami,” katanya.

Gaji minimum baharu itu katanya, juga menyebabkan syarikat pelancongan dan pengembaraan Sarawak dalam kebingungan kerana mereka tidak berada dalam kedudukan kewangan untuk mengambil semula kakitangan yang diberhentikan atau mengambil pekerja baharu.

Bandaraya Kuching mempunyai banyak tarikan tersendiri termasuk menyusuri Sungai Sarawak dengan menaiki bot. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2022.

Namun jelas Choo, industri sedar ia tidak akan kembali ke tahap pra-pandemik dalam jangka masa pendek.

Pada 2019 sebelum wabak, ketibaan pelawat ke negeri itu adalah 4.7 juta. Tahun lalu, pada kemuncak wabak itu, ketibaan menjunam kepada 235,000.

Choo berkata, ia boleh mengambil masa sehingga dua tahun untuk industri itu kembali pulih.

“Secara konservatif, satu tahun minimum, dua tahun maksimum. Saya fikir sesetengah daripada kita mungkin tidak ada lagi dalam masa setahun. Satu tahun adalah masa yang lama.”

Beliau berkata, keyakinan yang suam-suam kuku itu juga disebabkan perang berterusan Russia-Ukraine yang memberi kesan kepada pasaran Eropah.

“Ia akan menjadikan perjalanan mahal. Syarikat penerbangan yang terbang dari Eropah ke Asia perlu mengelak ruang udara Ukraine dan Russia. Itu akan menjadikan perjalanan lebih mahal,” katanya merujuk kepada laporan beberapa laluan kini lebih panjang lebih daripada tiga jam.

Tambang mahal bukan satu-satunya kos tambahan yang boleh dihadapi oleh pelancong, katanya, sambil merujuk kepada protokol kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) negara berbeza yang boleh meningkatkan kos perjalanan.

Memandangkan kebimbangan terhadap Covid-19 masih berlarutan, Choo berkata, corak perjalanan juga mungkin akan berubah.

“Kami tidak mungkin mendapat kumpulan besar lagi.”

Choo juga berkata, hampir semua ejen “tidak mendengar sebarang perkataan (tempahan) daripada pihak lain”.

Pemandu pelancong negeri itu juga tidak pasti apa akan berlaku apabila sekatan perjalanan ditarik balik.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Sarawak Abang Azahari Zaidan berkata, negeri itu pada masa ini mempunyai 190 pemandu pelancong berlesen tetapi dengan pantas mengakui beliau tidak pasti berapa ramai daripada mereka akan kembali ke industri pelancongan selepas mendapati pendapatan lebih stabil dan dilaporkan lumayan sebagai penghantar makanan dalam industri gig.

“Difahamkan mereka terpaksa mencari pekerjaan alternatif untuk terus hidup dan menyara keluarga mereka. Tetapi saya memberitahu mereka supaya tidak membuang lesen mereka dan boleh bekerja secara sambilan untuk mancari pendapatan sampingan,” kata Abang Azahari.

Beliau berkata, mereka memerlukan kos RM7,000 untuk mendapatkan lesen.

Hotel Merdeka Palace di Kuching menjadi antara tempat tumpuan pelancong untuk menginap apatah lagi dengan latar belakang sejarahnya.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2022.

Ramai yang mengikuti kursus latihan sebelum wabak hanya mendapati sempadan ditutup apabila mereka menerima lesen mereka.

Abang Azahari berkata, dengan pelancong datang dalam “kumpulan keluarga” kecil bermakna terdapat peluang untuk pemandu.

Lawatan insentif kumpulan besar (GIT) akan menjadi perkara yang sudah berlalu, katanya.

“1 April adalah hari yang kami tunggu-tunggu. Saya diberitahu rakyat Singapura tidak sabar untuk datang.”

Beliau berkata, dengan begitu banyak sekatan dan protokol kesihatan yang masih dilaksanakan di banyak negara, beliau tidak fikir rakyat Singapura akan mahu melakukan perjalanan jauh.

Angka sebelum wabak itu juga menunjukkan peningkatan jumlah warga Singapura yang datang sebagai pelancong.

Statistik Jabatan Imigresen Sarawak menunjukkan antara 2015 dan 2019, sebelum wabak, purata pertumbuhan pengunjung dari Singapura ke Sarawak adalah 2.38%.

Pada 2016, 40,209 warga Singapura melawat Sarawak manakala pada 2017, jumlah itu meningkat sebanyak 4.89% kepada 42,177.

Pada 2018, jumlah itu meningkat 3.69% kepada 43,734 dan pada 2019, 46,812 pelancong Singapura melawat negeri itu.

Abang Azahari berkata walaupun pelancong antarabangsa mungkin pulang dalam jumlah yang lebih kecil, pelancong domestik dari Semenanjung masih akan membuat mereka sibuk.

“Kami menerima kumpulan dari Selangor dan Kelantan apabila sekatan perjalanan domestik ditarik balik,” katanya. – 27 Mac, 2022.

Iklan
Iklan