Iklan

Bazar Ramadan buka di Terengganu tapi sambutan peniaga kurang, kata persatuan

Diyana Ibrahim3 years ago28th Mar 2022Berita
49931997743 f96cd7c50c b
Keadaan bazar Ramadan ketika sebelum Covid-19 tanpa penjarakan fizikal tetapi kini perlu mematuhi SOP yang ditetapkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2022.
Iklan

SAMBUTAN peniaga terhadap bazar Ramadan di Terengganu masih suram biarpun kerajaan mengumumkan lebih banyak kelonggaran mulai 1 April susulan fasa peralihan pengurusan Covid-19 daripada pandemik ke endemik, kata persatuan peniaga.

Sambutan yang kurang menggalakkan itu menyebabkan penganjur bazar Ramadan terpaksa mengurangkan jumlah tapak yang ditawarkan kepada peniaga, kata mereka.

Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Malam dan Pekan Sehari Kuala Nerus (Pertekun) Mohamad Besar, berkata pihaknya hanya menyediakan 50 tapak berniaga di kawasan jambatan angkat itu.

“Tahun ini kita tak sediakan banyak tapak sebab sambutan sangat kurang.

“Kita nak dapatkan 30 peniaga pun susah, sebab itu kita cuma sediakan hanya 50 tapak niaga sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau tidak menolak kemungkinan banyak peniaga mungkin memilih untuk berjualan di tepi jalan berbanding di tapak perniagaan yang disediakan.

Lokasi baharu juga mungkin satu lagi faktor yang tidak menarik perhatian mereka, tambahnya.

“Saya rasa peniaga di sini lebih suka nak berniaga tepi jalan berbanding pergi kepada penganjur… mungkin sebab mereka tak nak bayar sewa.

“Ataupun boleh jadi mereka tak nak terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) kalau mereka berniaga dengan kita,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu cawangan Kuala Terengganu Zakaria Yusoff berkata, pihaknya juga berhadapan isu kos seliaan yang tinggi susulan penganjuran bazar yang dibuka kepada swasta.

Beliau memberikan contoh kos sewa tapak yang membebankan, yang dianggarkan meningkat sehingga RM3,500 berbanding RM2,000 tahun lalu.

“Jadi berapa sewa yang kita nak bagi kepada peniaga, kalau harga bukaan pun dah tinggi?

“Memang persatuan tidak mampu nak dapatkan tender itu tahun lalu,” katanya.

Bazar Ramadan bukan sahaja menjual makanan tetapi turut menjual kain dan pakaian bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2022.

Malah keadaan itu juga menyebabkan banyak tapak bazar yang kosong tidak ada peniaga atau peniaga bertukar ganti kerana beban sewa  tinggi, tambahnya.

Isu sewa tapak tidak berbangkit sebelum ini kerana tender bazar Ramadan diberi secara rundingan terus oleh MBKT kepada pihak persatuan.

Bagi tahun ini, pihak persatuan hanya dapat satu tender pengurusan bazar Ramadan jualan makanan dan minuman sahaja di Dataran Shahbandar, kata Zakaria.

“Kita juga hanya sediakan 72 tapak gerai saja dengan keutamaan kepada ahli persatuan kita,” katanya.

Terengganu membenarkan operasi bazar Ramadan tahun ini mengikut peraturan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut MBKT, sebanyak 36 tapak bazar Ramadan membabitkan 4,385 petak gerai termasuk di daerah Kuala Nerus disediakan tahun ini.

Daripada jumlah itu, 4,099 petak disediakan khusus bagi tapak jualan makanan, sementara 286 petak pula untuk gerai pelbagai.

Pengerusi Persatuan Penjual-Penjual Melayu Pasar Chabang Tiga, Zabidi Zahid pula berkata, setakat ini mereka dimaklumkan tiada perubahan dalam SOP lama penganjuran bazar.

“SOP masih sama dan peniaga kita juga diwajibkan lengkap dua dos vaksin. Cuma kita tak diberitahu mengenai wajib dos pengalak bagi vaksin Sinovac.

“SOP yang dikeluarkan mewajibkan peniaga ada dua dos vaksin dan mereka tidak kata apa pun mengenai vaksin pengalak. Jadi kita akan ikut sahaja SOP bagi lengkap dua dos,” katanya.

Pada masa sama beliau berharap peralihan fasa kepada endemik akan meningkatkan jualan selepas dua tahun perniagaan mereka terkesan kerana pelaksanaan PKP.

“Kita harap tahun ini meningkatlah jualan, bila orang dah boleh mula buka puasa dekat luar, kemudian dengan kebenaran keluar duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

“Jadi orang nak berbelanja itu banyaklah. Berbanding tahun lalu, peniaga kata mereka mengalami banyak kerugian kerana kurang sambutan,” katanya. – 28 Mac, 2022.

Iklan
Iklan