Iklan

Sarawak bincang dengan Khazanah tubuh syarikat penerbangan sendiri

Desmond Davidson3 years ago29th Mar 2022Berita
abang johari openg tmipic 12/1/2020
Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata perbincangan mengenai penubuhan syarikat penerbangan negeri dijangka selesai dalam tempoh 3 bulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2022.
Iklan

PERBINCANGAN antara Unit Perancang Ekonomi Sarawak dan Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham tunggal Malaysia Airlines Bhd, mengenai cadangan syarikat penerbangan negeri itu mungkin diselesaikan dalam tempoh tiga bulan, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.

“Kami berharap dalam tiga bulan untuk mencapai keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam Persekutuan Perniagaan Sarawak dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia malam tadi.

Abang Johari tidak mendedahkan perkara yang dibincangkan atau mengapa perlu berbincang dengan Khazanah.

Beliau dalam ucapannya berkata negeri mahu meningkatkan sektor pelancongannya dengan mengadakan pengaturan dari satu lokasi ke satu lokasi untuk pelancong antarabangsa dengan mengambil penerbangan terus ke Kuching tanpa perlu transit di Kuala Lumpur.

Beliau juga berkata sudah memaklumkannya kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai syarikat penerbangan itu.

Abang Johari mengeluarkan idea agar negeri mempunyai syarikat penerbangan sendiri sejak 2015 ketika beliau menjadi menteri pelancongan.

Cadangan ketika adalah kerajaan Sarawak dan Sabah membeli MasWings daripada Malaysia Airlines dan mengubahnya menjadi syarikat penerbangan serantau dengan penerbangan terus dari Kuching dan Kota Kinabalu ke destinasi berdekatan di negara Asean dan juga selatan China.

Rancangan itu gagal selepas Malaysia Airlines Bhd didakwa sengaja melengah-lengahkannya.

Abang Johari dipetik berkata dalam sidang media Januari 2017: “Ya, memang sebelum ini kami ingin mengambil alih MasWings, tetapi memandangkan mereka menyukarkannya, kami lupakannya.

“Kami tiada pilihan selain menukar kereta. Jika kami tidak boleh memiliki Proton Saga, kami beralih kepada kereta lain.”

Tahun lepas, beliau mengeluarkan beberapa butiran mengenai syarikat penerbangan itu berkata ia dikendalikan oleh syarikat Hornbill Skyways.

Beliau berkata pesawat yang akan digunakan ialah pesawat yang boleh memuatkan 200 penumpang.

Destinasi syarikat penerbangan butik itu sama seperti dirancangkan dalam pembelian MasWings yang gagal - dari Sarawak ke hab strategik seperti Kuala Lumpur, Singapura, Thailand, Indonesia dan Hong Kong. – 29 Mac, 2022.

Iklan
Iklan