Iklan

Daftar masuk MySejahtera disemak semula selepas sempadan dibuka, kata Khairy

Chan Kok Leong3 years ago30th Mar 2022Berita
Khairy jamaluddin tmikamal 03 (1)
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keperluan daftar masuk MySejahtera akan dikaji semula selepas sempadan negara dibuka Jumaat ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Mac, 2022.
Iklan

MALAYSIA akan mengkaji semula keperluan daftar masuk MySejahtera selepas sempadan negara dibuka pada Jumaat ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Kita perlu melihat kesan perjalanan antarabangsa terhadap jangkitan selepas sempadan dibuka semula pada 1 April,” katanya kepada pemberita di luar majlis pelancaran Hari Aktiviti Fizikal Sedunia di Putrajaya hari ini.

Menteri itu mengulas cadangan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) supaya fungsi daftar masuk harus dihentikan kerana ia tidak lagi boleh dianggap berguna untuk kesan kontak rapat.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan Malaysia akan memulakan peralihan ke fasa endemik Covid-19 pada 1 April. 

Seiring dengan itu sempadan negara akan dibuka semula untuk perjalanan antarabangsa. Perubahan terhadap protokol kuarantin juga dibuat dengan lebih mudah dan tiada kuarantin untuk mereka yang divaksin sepenuhnya serta yang mendapat suntikan dos penggalak.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai percaya fungsi pengimbasan tidak berguna lagi seperti sebelum ini.

“Memandangkan kita sedang beralih ke fasa endemik Covid-19, sudah tiba masanya kita pertimbang untuk hentikan pengimbasan MySejahtera setiap kali kita masuk premis, terutamanya apabila fasa peralihan tamat nanti.

“Dengan jumlah kes positif yang banyak di dalam dan di sekeliling kita, pengesanan kontak tidak akan diguna pakai secara meluas kerana ia tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan,” kata Dr Koh dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin Khairy berkata kerajaan tidak bercadang menghapuskan fungsi daftar masuk.

Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii pula berkata kerajaan harus menyemak atau henti mewajibkan orang ramai mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera mereka sebelum memasuki premis.

Mengenai perolehan aplikasi MySejahtera kerajaan daripada pemaju Entoma Malaysia Sdn Bhd, Khairy memberitahu pemberita rundingan sedang dimuktamadkan.

“Kami berharap untuk memuktamadkan kontrak dalam masa sebulan atau lebih kerana rundingan mengambil sedikit masa,” kata menteri itu.

Beliau menyatakan rundingan itu mengambil sedikit masa kerana ia “sedikit teknikal”.

Mengenai soalan lanjut berkenaan MySejahtera seperti harga pembelian atau ia dimiliki oleh syarikat Singapura menteri itu berkata beliau akan menjawabnya di Dewan Negara esok.

“Bagi data (yang direkodkan oleh aplikasi MySejahtera) ia akan dipindahkan ke server kerajaan yang selamat,” katanya.

Pembangunan aplikasi dan pemerolehannya oleh kerajaan kini dalam penelitian sejak didedahkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Awam Parlimen bahawa aplikasi itu dibangunkan untuk Putrajaya tanpa hubungan yang sewajarnya dan atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Hak cipta dan perisian kemudiannya dijual kepada sebuah syarikat swasta MySJ Sdn Bhd yang mana kerajaan berunding terus dengannya. – 30 Mac, 2022.

Iklan
Iklan