Adam Adli umum tanding ketua Pemuda PKR
Iklan
BEKAS aktivis pelajar Adam Adli hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan ketua Pemuda PKR pada pemilihan parti bulan depan.
Beliau setakat ini dijangka berhadapan seorang lagi bekas aktivis pelajar Fahmi Zainol yang mengumumkan pencalonannya minggu lalu.
Melalui kenyataan media mengumumkan pencalonannya, Adam berkata beliau akan berganding dengan Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai calon timbalannya dalam barisan yang dinamakan Seangkatan.
“Maka dengan penuh rasa tawaduk dan rendah diri kami Adam Adli Adam Adli Abdul Halim dan Muhammad Kamil Abdul Munim mengesahkan hasrat kami untuk menawarkan diri sebagai calon mengisi tanggungjawab besar ketua Angkatan Muda Keadilan dan timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan,” katanya.
Tambahnya, barisan lengkap tiga calon naib ketua pemuda serta 20 anggota exco akan diumumkan kemudian.
Adam menyertai PKR pada 16 September lepas bersama 20 aktivis anak muda lain.
Adam berkata sebagai barisan paling hadapan, sayap Pemuda memerlukan pembaharuan dengan mengetengahkan muka baharu yang bukan saja mempunyai cita-cita tetapi tahu peranan mereka.
Katanya, langkah itu amat penting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
“Angkatan Muda Keadilan barisan paling hadapan PKR. Barisan paling hadapan ini harus bersedia, kukuh, berani, progresif dan segar.
“Berhadapan PRU akan datang, ia harus menampilkan tenaga yang paling kuat sebagai pemuka parti dan tunjang utama perjuangan reformasi,” katanya.
Pemilihan PKR 2022 akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei ini, selepas penamaan calon pada 8 April. – 30 Mac, 2022.