Iklan

Pengusaha restoran belum sedia beroperasi 24 jam 

Elill Easwaran3 years ago31st Mar 2022Berita
Lestoram
Pengusaha restoran masih belum dapat beroperasi 24 jam berikutan masalah kekurangan tenaga kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2022.
Iklan

KELONGGARAN sekatan Covid-19, termasuk membenarkan operasi 24 jam untuk kedai makan, masih belum meringankan beban pengusaha restoran.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight mereka masih tidak dapat beroperasi 24 jam kerana kekurangan tenaga kerja.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Ali Taib Khan dari segi perniagaan, mereka sedia beroperasi tetapi malangnya mereka kekurangan tenaga kerja.

“Malah sehingga tengah malam, kebanyakan restoran tidak mampu beroperasi kerana terdapat kekurangan pekerja,” katanya.

Jawahar menambah tiada gunanya beroperasi selama 24 jam jika mereka tidak dapat memberikan perkhidmatan yang baik.

“Kami mahu memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan supaya ia berbaloi.

Paling penting bagi kami adalah kualiti makanan dan kebersihan kedai dan jika itu tidak dapat dicapai, kami tidak sepatutnya beroperasi 24 jam,” katanya.

Beliau berkata dengan pemansuhan sekatan ketika negara memasuki fasa endemik bermula 1 April, hanya kira-kira 10 peratus anggota Presma akan beroperasi 24 jam.

Presma kini mempunyai lebih 9,500 restoran sebagai ahli, namun sebelum pandemik Covid-19, ia mempunyai lebih 11,000 ahli.

“Kira-kira 15 peratus ahli kami telah menutup restoran mereka kerana kekurangan tenaga kerja dan perniagaan,” katanya.

Tambahnya kebanyakan restoran pada masa ini hanya beroperasi dengan 50 peratus pekerja, menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi sehingga tengah malam.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kedai makan akan dibenarkan beroperasi selama 24 jam ketika negara bersiap sedia untuk beralih ke peringkat endemik pada 1 April.

Ismail mengumumkan kelonggaran beberapa protokol Covid-19 tetapi berkata rakyat Malaysia masih diwajibkan memakai topeng di luar rumah dan mendaftar masuk dengan aplikasi MySejahtera.

Pengusaha restoran kini masih berdepan masalah kekurangan pekerja yang menyebabkan kesukaran untuk perniagaan mereka beroperasi 24 jam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2022.

Proses pengambilan pekerja yang lambat

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) J. Suresh juga berkata ahlinya belum bersedia untuk beroperasi selama 24 jam.

“Satu kedai memerlukan sekurang-kurangnya 35 pekerja untuk beroperasi 24 jam tetapi ketika ini setiap kedai hanya mempunyai kira-kira 12 pekerja,” katanya.

Suresh berkata mungkin beberapa kedai mungkin beroperasi pada waktu yang berbeza sepanjang bulan Ramadan yang mana mereka akan mula beroperasi dari jam 6 petang dan seterusnya.

Menurutnya, walaupun kerajaan telah membenarkan pengambilan semula pekerja asing, proses itu terbantut.

“Apabila kita mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa, mereka selalu berkata ‘boleh’ untuk segala-galanya tetapi apabila kita pergi ke jabatan imigresen, semuanya ditangguhkan.

“Jika pekerja asing tidak dibenarkan pulang ke negara ini tidak lama lagi, lebih banyak restoran juga terpaksa ditutup,” katanya.

Primas yang mempunyai lebih 2,000 ahli sebelum pandemik kini hanya mempunyai kira-kira 1,500 ahli selepas ramai daripada mereka menutup beroperasi.

Pengasas bersama Gabungan Pengendali F&B Malaysia Joshua Liew berkata kekurangan tenaga kerja merupakan krisis terbesar bagi pengendali F&B.

“Atas faktor ini, banyak kedai tidak dapat menjalankan perniagaan mereka seperti biasa.

“Walaupun hanya untuk beroperasi pada waktu biasa, mereka masih bergelut,” katanya.

Joshua berkata penyelesaian jangka pendek yang perlu diberikan oleh kerajaan ialah membenarkan pelarian bekerja sementara menunggu pekerja asing diluluskan.

Bulan lepas, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata kementerian telah menerima 111,807 permohonan untuk pekerja asing.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 77,848 adalah pekerja dalam sektor pembuatan, diikuti oleh perladangan (13,119), perkhidmatan (10,611), pembinaan (8,530) dan pertanian (1,699). – 31 Mac, 2022.

Iklan
Iklan