Iklan

Tidak mudah Khairuddin hendak pertahan Kuala Nerus, kata ahli PAS, pengundi

Diyana Ibrahim3 years ago1st Apr 2022Berita
49936446573 332b06138e o-2
Pengundi di Kuala Nerus percaya Khairuddin Aman Razali akan berdepan laluan sukar untuk pertahan kerusi Parlimen itu pada PRU15 selepas keluar PAS baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2022.
Iklan

KHAIRUDDIN Aman Razali akan berdepan laluan sukar jika mahu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus sebagai calon bebas pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, selepas beliau keluar PAS baru-baru ini, kata ahli parti dan pengundi kawasan itu.

Mereka mengakui Khairuddin seorang wakil rakyat prihatin dan selalu turun padang tetapi sebagai ahli parti yang setia mereka tidak akan mengundi calon selain yang diisyaratkan pimpinan PAS.

Seorang ahli PAS yang enggan namanya disebut memberitahu The Malaysian Insight, penyokong tegar PAS akan patuh dan setia kepada parti, dan menolak pemimpin yang bertentangan dengan parti.

“Terengganu ini mood rakyat adalah mood PAS. Mereka patuh kepada parti, sama macam di Kelantan. Kalau nak kata kebajikan, dah lama rakyat Kelantan akan tinggalkan PAS.

“Biarpun rakyat Kelantan dah muak minum air teh tarik tapi mereka tidak kata dizalimi,” katanya.

Beliau merujuk isu bekalan air bersih di Kelantan yang sehingga hari ini belum dapat diselesaikan pentadbiran PAS Kelantan, tiga dekad selepas mengambil alih kepimpinan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

Ahli PAS itu memberi satu lagi contoh terdekat, apa yang berlaku kepada bekas Adun Bukit Pasir Najib Lep yang bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Najib bertanding untuk mempertahankan kerusinya selepas tidak dicalonkan semula oleh PAS. Tindakannya menyebabkan beliau dipecat serta merta daripada parti.

Najib hanya meraih 1,860 undi dan hilang wang pertaruhan, sementara wakil PAS Iqbal Razak yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mendapat 5,850 undi. Kerusi Bukit Pasir dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Fazli Mohamad Salleh dengan majoriti 198 undi.

“Kita boleh kata Khairuddin pun akan menerima nasib sama sebab bagi penyokong PAS, sokongan mereka kekal (pada parti) dan tidak ikut individu.

“Tambahan pula di Kuala Nerus kita anggarkan 70% daripadanya merupakan penyokong PAS, jadi kita jangka memang kalau Khairuddin nak bertanding tiket bebas itu sukar,” katanya.

Khairuddin mengumumkan keluar PAS pada 14 Mac, kira-kira sebulan selepas dipecat kali kedua daripada jawatan yang dipegangnya dalam parti.

Khairuddin digugurkan daripada Jawatankuasa PAS Pusat, tidak sampai sebulan selepas dilantik susulan kekalahannya dalam pemilihan parti pada Muktamar PAS, November 2021.

Alasan penggugurannya tidak pernah disebut secara jelas namun Takiyuddin menafikan ada kaitan dengan isu kerjasama PAS dengan Umno atau Bersatu.

PAS Terengganu yakin akan mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Nerus biarpun calonnya nanti bukan Khairuddin Aman Razali kerana penyokong PAS setia pada parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2022.

Khairuddin antara pemimpin PAS yang lantang menyuarakan pandangan tentang perlunya parti Islam itu mempertahankan kerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional.

Kira-kira sebulan selepas pengguguran itu, Khairuddin digugurkan pula daripada jawatan setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengesahkan tindakan itu atas alasan masalah disiplin.

Khairuddin mula bertanding pilihan raya mewakili PAS pada PRU 2013, menang kerusi Kuala Nerus dengan majoriti kecil 610. Beliau mengekalkan kerusi itu pada 2018 dengan majoriti lebih besar 8,447 undi.

Bagi pengundi Kuala Nerus, Mohd Hitam, 63, beliau tidak marah kepada Khairuddin kerana beliau cakna kebajikan rakyat dan aktif menghulurkan bantuan.

“Sebagai wakil rakyat dia bagus, banyak beri bantuan… minyak percuma, beras percuma, baguslah.

“Kalau beliau keluar (PAS) itu terpulang, itu hak individu,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan mengundi Khairuddin sekiranya bertanding di Kuala Nerus, jawabnya: “Mungkin tidak.”

Sementara itu seorang lagi pengundi di Kuala Nerus Mohamad Alias, 41, berpandangan Khairuddin ada peluang dalam kalangan pengundi muda yang tidak melihat faktor parti semata-mata.

“Orang muda di Kuala Nerus tak sama macam orang lama yang mesti nak sokong parti. Orang muda tengok pada calon mana yang banyak bagi bantuan mereka sukalah,” katanya.

Dalam pada itu, PAS Terengganu yakin akan mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Nerus biarpun calonnya nanti bukan Khairuddin.

Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu Hanafiah Mat berkata Khairuddin menang di Kuala Nerus bukan kerana namanya sendiri tetapi atas tiket parti Islam.

“Pengundi tidak akan lari. Setakat kajian yang kita buat di lapangan, pengundi masih istiqamah dengan PAS. Ini kerana kewujudan wakil rakyat adalah memenuhi kehendak pengundi di situ. Bila datang ahli Parlimen secara automatik mereka akan beri peluang (undi).

“Jadi ada atau tidak Khairuddin ini kita tidak ada masalah nak kekalkan Kuala Nerus.

“Adalah calon yang kita akan cari untuk ganti dan InsyaAllah pengundi akan tetap bersama dengan kita,” katanya.

Beliau yang juga exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional berkata pimpinan parti negeri juga sudah berbincang untuk menyerahkan tugas menjaga kawasan pilihan raya itu kepada PAS Kuala Nerus.

Hanafiah berkata tindakan Khairuddin keluar PAS juga tidak memberi impak yang besar atau gelombang sehingga menyebabkan ramai ahli atau pemimpin parti mengikut jejaknya.

“Kita akan pastikan perjalanan aktiviti di Kuala Nerus diteruskan dan tugas ini akan diambil alih PAS kawasan dibantu beberapa wakil rakyat kita.

“Yang penting kita nak pengundi rasa yang mereka masih ada lagi ahli Parlimen di situ,” katanya. – 1 April, 2022.

Iklan
Iklan