Iklan

Rakyat Ukraine di Malaysia kumpul dana bantu tanah air mereka

Elill Easwaran3 years ago1st Apr 2022Berita
Iklan

RAKYAT Ukraine di Malaysia sedang mengumpul dana untuk menyokong kerajaan dan rakyat mereka yang sedang berdepan pencerobihan Rusia.

Pengasas dan Presiden Persatuan Kebudayaan Ukraine di Malaysia, Lidiya V.M. memberitahu The Malaysian Insight mereka berharap dapat tolong bawa bantuan dan makanan buat rakyat mereka.

“Dana yang diberikan oleh kami akan dihantar kepada rakyat Ukraine oleh kerajaan di sana.

“Ramai yang hilang rumah dan harta benda. Mereka hampir tidak boleh dapat makanan yang sewajarnya. Jadi kami harap mereka akan guna dana ini untuk dapatkan bekalan yang diperlukan,” katanya.

Persatuan tersebut ditubuhkan lima tahun lalu untuk menghubungkan warga Ukraine yang bekerja dan belajar di sini antara satu sama lain selain bertukar budaya antara Malaysia dan Ukraine.

Tambah Lidiya persatuan itu juga sentiasa berhubung dengan doktor di Ukraine mengenai keperluan mendesak mereka.

“Mereka minta tornikuet perubatan taktikal yang boleh digunakan untuk tentera.

“Kami sedang bekerjasama dengan platform Malaysia yang dipanggil DrEzy untuk beli produk itu,” katanya menambah persatuan itu kini cuba menghantar 200 unit setiap minggu.

“Walaupun penghantaran boleh jadi mahal, tetapi kami tidak mampu tunggu lama sebab mereka perlu guna segera.”

Beliau mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai untuk mereka membuat pembelian ini.

Beliau juga berkata mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan atau membantu boleh menghubungi laman Facebook Persatuan Kebudayaan Ukraine.

Presiden Persatuan Kebudayaan Ukraine di Malaysia, Lidiya V.M. berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan doktor di Ukraine mengenai keperluan mendesak di sana selain mengumpul dana bagi membekalkan bantuan makanan dan keperluan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 April, 2022.

Lidiya juga berkata persatuan itu membuat dan menjual pastri Ukraine, yang mana ia akan disumbangkan kepada Ukraine.

Sementara itu, wakil dari kedutaan Ukraine di Malaysia berkata mereka meminta kerajaan Malaysia bantuan kemanusiaan selain menggesa tamatkan hubungan dengan Rusia.

“Setakat ini kerajaan Malaysia berkata ia masih mempertimbangkan,  tetapi tiada tindakan diambil,” kata wakil itu.

Wakil itu juga berkata kedutaannya menyokong langkah diambil oleh Persatuan Kebudayaan Ukraine di Malaysia untuk membantu warganegara mereka.

Risaukan keluarga

Natalia Mykhailiuk, 43, warga Ukraine, berkata beliau sentiasa risau dengan keluarganya di Kyiv, Ukraine.

“Buat masa ini saya boleh hubungi mereka setiap hari dan periksa mereka tetapi saya berasa sangat kecewa kerana saya tidak boleh berada bersama mereka di sini.

“Ibu saya kini tinggal di tempat perlindungan bom kerana Kyiv sentiasa diserang manakala abang saya telah berpindah ke bahagian yang lebih selamat di Ukraine,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bapanya baru-baru ini menjalani pembedahan dan terlantar sehingga menyukarkan keluarga untuk berpindah ke negara lain.

Natalia berkata beliau terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia di sini terhadap nasib yang dialami negaranya.

“Seorang wanita dari Ipoh menghubungi saya dan menyumbang beberapa produk kraf yang boleh dijual.

“Wang yang diperoleh daripada penjualan itu akan dihantar ke Ukraine,” katanya.

Natalia juga berkata beliau lebih suka membantu rakyatnya dari sini daripada terbang pulang.

“Saya tidak dapat sertai tentera. Saya akan dapat berbuat banyak dari sini dengan kumpul dana dan tolong kerajaan serta rakyat Ukraine.”

Yulia Rybak, 30, berkata dia juga amat risau tentang keluarga, saudara mara dan rakannya di Kyiv.

“Segala perkara yang berlaku amat mengerikan, dan saya rasa seperti mahu berada di sana bersama keluarga dan pada masa sama saya juga faham saya boleh bertindak dari sini.

“Saya terus berusaha untuk sokong mereka dan organisasi sukarelawan lain di Ukraine,” katanya.

Katanya beliau kecewa dengan pendirian Malaysia yang mengenai konflik Ukraine-Rusia.

“Saya harap untuk lihat lebih banyak sokongan daripada Malaysia, tetapi saya tidak akan putus harapan kerana saya anggap Malaysia sebuah negara yang berusaha untuk menjadi demokratik dan maju.

“Apa yang Rusia lakukan terhadap Ukraine bukan sahaja masalah Ukraine - ia juga telah menetapkan paras bahaya buat mana-mana negara yang ada pertikaian wilayah dengan jiran, atau kuasa tentera yang kurang serta bergantung kepada sekutu yang lebih berkuasa untuk perlindungan dan memastikan kedaulatan mereka.

“Jika Rusia hari ini boleh serang Ukraine tanpa sebarang sebab objektif, dan tanpa dikenakan hukuman, apakah yang akan menghalang mana-mana negara lain nanti daripada menyerang Malaysia?

“Hanya penentangan antarabangsa yang bersatu terhadap penindas boleh menunjukkan yang dunia tidak akan bertolak ansur dengan keganasan dan akan membela demokrasi,” kata Yulia yang merupakan pengurus pemasaran.

Warga Ukraine, Natalia Mykhailiuk, 43, berkata dia sentiasa risau dengan keluarganya yang kini masih berada di Kyiv, Ukraine ketika tentera Rusia dilaporkan mengepung ibu negaranya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 April, 2022.

Beliau berkata rakyat Ukraine di Malaysia sentiasa berhubung, cuba menyokong satu sama lain dan juga menganjurkan acara mengumpul dana untuk membantu organisasi sukarelawan di Ukraine.

Beliau juga berkata kedutaan Ukraine di sini melakukan kerja yang hebat untuk rakyat Ukraine di Malaysia.

“Mereka sangat lantang mengenai apa yang berlaku di Ukraine dan cuba mendapatkan sokongan daripada Malaysia dan juga daripada wakil negara lain.

“Pada masa sama, mereka sediakan bantuan maklumat kepada Persatuan Kebudayaan Ukraine dan acara amal yang kami lakukan,” katanya.

Sementara itu, seorang warga Ukraine yang hanya mahu dikenali sebagai Sergii berkata penerbangan balik ke Ukraine sekarang bukanlah satu pilihan yang bijak.

“Saya sangat bertuah kerana keluarga saya telah berjaya melarikan diri dari Ukraine ke Poland tetapi saya masih bimbang tentang berjuta-juta lain yang terkandas di Ukraine,” katanya.

Beliau berkata negara-negara yang gagal mengenakan sekatan terhadap Rusia secara senyap meluluskan pembunuhan orang awam di Ukraine.

“Kemungkinan besar negara-negara ini lebih utamakan kestabilan ekonomi berbanding nyawa orang yang tidak bersalah,” katanya.

Malaysia telah mengulangi kebimbangannya terhadap konflik Ukraine-Rusia, menggesa semua pihak yang terlibat supaya segera meredakan permusuhan.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata Malaysia akan terus menyokong semua usaha demi keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa.

Pada 24 Februari, Rusia menyerang Ukraine dengan pertempuran dan tembakan setiap hari menyebabkan kematian dan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal. – 1 April, 2022.

Iklan
Iklan