Iklan

Muhyiddin datang untuk minta sokongan, kata Dr Mahathir

Chan Kok Leong3 years ago1st Apr 2022Berita
Tun m april 01, 2022 tmi afif 01
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin ada datang meminta sokongan parti berkenaan. – Gambar The Malaysian Insight Afif Abd Halim, 1 April, 2022.
Iklan

BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin datang untuk meminta sokongan Pejuang, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Beliau meminta kami menyokongnya,” kata Dr Mahathir semasa sidang media di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir yang disingkirkan daripada Bersatu selepas Muhyiddin menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020 berkata Muhyiddin mahu menjadi perdana menteri semula.

“Tetapi kita belum memutuskan apa-apa,” kata bekas perdana menteri berusia 96 tahun itu. 

““Saya tak tahu nak kata apalah. Saya tak jadi perdana menteri kerana Muhyiddinlah. Sekarang ini dia minta tolong orang yang dia tikam belakang tapi tak mati lagi. Bagaimana nak bekerja dengan seseorang yang menikam anda dari belakang,” soal pengerusi Pejuang.

Dr Mahathir dan PH digulingkan dari Putrajaya berikutan tindakan Muhyiddin dalam Langkah Sheraton.

Semalam Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir memberitahu pemberita di Terengganu bahawa Muhyiddin bertemu bapanya untuk membincangkan kerjasama dalam pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir hari ini bercakap mengenai sebab kekalahan Pejuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lepas di mana parti itu kalah di semua 42 kerusi yang ditandinginya.

Beliau menyalahkan rasuah sebagai salah satu faktor.

“Apabila kami memanggil beberapa pengundi mereka bertanya kepada kami berapa banyak yang Pejuang sanggup berikan. Menurut mereka pihak tertentu memberi RM200 tetapi kami tidak mempunyai wang.

“Kami mahu orang ramai menyokong kami kerana mereka mahu memerangi rasuah,” kata ahli Parlimen Langkawi itu.

Dr Mahathir awal hari ini bertemu Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia Mohd Nizam Mohd Isa untuk membincangkan cara-cara membanteras rasuah di negara ini. – 1 April, 2022.

Iklan
Iklan