Iklan

Mansuhkan sistem kontrak pekerja pembersihan, kata timbalan ketua PSM

Elill Easwaran3 years ago1st Apr 2022Berita
49931017167 ce6a5eb30c b
Seramai 53 pekerja pembersihan sekolah dari 19 sekolah di Sabak Bernam mengadakan bantahan di luar Pejabat Perdana Menteri awal minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2022.
Iklan

KERAJAAN harus memansuhkan sistem kontrak bagi pekerja pembersihan sekolah dan sebaliknya mengambil pekerja secara langsung bagi membolehkan mereka diletakkan di bawah kawalan kerajaan atau sekolah, kata timbalan presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan.

Beliau berkata, ia penting bagi melindungi kebajikan pekerja pembersihan yang kini diletakkan di bawah syarikat swasta.

“Pekerja ini harus diawasi oleh jabatan pentadbiran kerajaan dan bukannya syarikat swasta,” kata Arutchelvan kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian selepas 53 pekerja pembersihan sekolah dari 19 sekolah di Sabak Bernam mengadakan bantahan di luar Pejabat Perdana Menteri awal minggu ini selepas tidak dibayar gaji selama empat bulan.

“Kontraktor ini kebanyakannya kroni dan pemilihan kontraktor ini diselindungi di bawah perundangan Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Seorang tukang cuci yang hanya mahu dikenali sebagai Mastura berkata, mereka tidak dibayar gaji sejak empat bulan lalu.

Mastura yang turut menghadiri tunjuk perasaan aman pada Selasa berkata, pegawai Kementerian Pendidikan dan Pejabat Perdana Menteri menyatakan gaji mereka akan dijelaskan.

Ketika dihubungi hari ini, pekerja terbabit berkata, gaji tertunggak mereka dijelaskan hari ini.

Bukan sahaja pekerja pembersihan sekolah kontrak menghadapi masalah gaji.

Bulan lalu kira-kira 30 anggota dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Sokongan dan Bersekutu Hospital (NUWHSAS) menyerahkan memorandum kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengenai “perhambaan masa kini” mereka di tangan kontraktor swasta yang mengupah mereka.

NUHWHSAS mengemukakan tiga permintaan: memansuhkan sistem kontrak dan menyerap pekerja pembersihan sebagai penjawat awam sepenuh masa, memberi mereka elaun Covid-19 dan menghentikan gangguan terhadap kesatuan sekerja.

Ia kali pertama menteri kesihatan bertemu kesatuan sekerja sejak pekerja pembersihan kontrak pertama kali mengetengahkan masalah mereka lima tahun lalu.

50,000 ahli kesatuan itu mahu dilayan sebagai penjawat awam tetap. – 1 April, 2022.

Iklan
Iklan