Iklan

Tukang cuci sekolah Sabak Bernam dibayar selepas 4 bulan tetapi gaji dipotong

Elill Easwaran3 years ago1st Apr 2022Berita
49932038016 06f87ea58e b
Tukang cuci sekolah di Sabak Bernam sudah menerima gaji tertunggak mereka sekalipun ada potongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2022.
Iklan

PEKERJA pembersihan sekolah dari 19 sekolah di daerah Sabak Bernam akhirnya mendapat gaji hari ini selepas empat bulan tidak dibayar tetapi mendapati gaji mereka dipotong.

Dua daripada mereka berkata, kebanyakan mereka yang membantah gaji mereka yang tertangguh di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya awal minggu ini mendapati gaji mereka dipotong.

Salah seorang pekerja Osman Uton, 46, berkata gajinya dipotong kira-kira 40% tetapi tidak tahu sebabnya.

“Mungkin pihak sekolah tidak begitu gembira dengan tahap kebersihan dan juga pemotongan dilakukan kerana kami mengambil bahagian dalam protes itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, dia berkata, dia tetap gembira dengan pembayaran itu kerana dia bergelut sejak November.

“Empat bulan lalu bukan mudah untuk menyara keluarga tanpa sebarang pendapatan jadi saya gembira kerana akhirnya dapat gaji,” katanya.

Pada Selasa, 53 pekerja pembersihan sekolah dari 19 sekolah di Sabak Bernam mengadakan bantahan di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Mereka memegang sepanduk menerangkan masalah mereka, yang selain tunggakan gaji, termasuk masalah dengan cuti tahunan mereka, tuntutan kenaikan gaji dan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Seorang lagi tukang cuci Kamilah Rashad, 55, yang menjadi pekerja pembersihan sekolah selama lebih 20 tahun berkata, gaji tertunggaknya dipotong sebanyak 20%.

Seorang lagi pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Mastura berkata, jika tidak kerana bantahan mereka, dia tidak berasakan mereka akan dibayar.

“Saya amat yakin jika kami tidak melakukan seperti di Putrajaya pada Selasa, kami tidak akan mendapat gaji hari ini.

“Sekurang-kurangnya sekarang kita boleh gunakan sedikit wang yang kita dapat untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan depan,” katanya.

Pekerja pembersihan memberitahu The Malaysian Insight mereka akan “mengambil apa sahaja yang mereka boleh dapat” kerana mereka tidak fikir apa-apa boleh dilakukan mengenai gaji yang dipotong.

Jelas Kamilah, kelewatan gaji kali ini adalah yang paling lama pernah dialaminya.

“Berlaku kelewatan gaji sebelum ini tetapi tidak pernah sampai empat bulan.

“Syarikat sebelum ini ditamatkan kontrak apabila mereka menangguhkan gaji jadi kita harap perkara yang sama akan berlaku kali ini,” katanya merujuk kepada syarikat swasta yang disubkontrak untuk mengendalikan pembersihan sekolah awam oleh Kementerian Pendidikan.

Kamilah berkata, subkontraktor yang tidak ditamatkan dengan cepat berkemungkinan besar akan terus mengeksploitasi pekerja.

Pekerja pembersihan berkata, mereka terbabit dengan beberapa syarikat berbeza.

Tegas Mastura, pihaknya sedang menunggu sama ada sebarang tindakan akan diambil terhadap syarikat terbabit.

“Kami berharap mendapat berita baik kerana kami tidak mahu kejadian ini berulang,” katanya.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang membantu mengetengahkan kesusahan dialami pekerja pembersihan menggesa supaya sistem kontrak pembersihan sekolah dimansuhkan. – 1 April, 2022.

Iklan
Iklan