Iklan

1 daripada 2 kematian Covid-19 Sarawak tahun ini tidak ambil dos penggalak

Desmond Davidson3 years ago2nd Apr 2022Berita
51869996022 c15cf53bf6 b
Menurut doktor, 29 individu sudah melengkapkan vaksinasi dua dos tetapi meninggal dunia sebelum mendapat suntikan dos penggalak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2022.
Iklan

HAMPIR separuh daripada 61 kematian akibat Covid-19 di Sarawak yang dilaporkan setakat ini tahun ini adalah mereka yang tidak menerima dos penggalak, kata Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Ooi Choo Huck.

Dari 1 Januari hingga Isnin lalu, 29 rakyat Sarawak atau 47.5% daripada kematian, tidak mendapat suntikan dos penggalak apabila mereka meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, kata Dr Ooi kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, 29 individu itu sudah melengkapkan vaksinasi dua dos tetapi meninggal dunia sebelum mendapat suntikan dos penggalak mereka.

Komplikasi yang berlaku selepas terkena jangkitan membunuh 20 orang lagi walaupun mereka mengambil dos penggalak lebih daripada 14 hari sebelum kematian mereka.

Dua puluh orang itu, yang membentuk 32.8% daripada jumlah kematian, adalah kumpulan kedua terbesar yang mati akibat Covid-19.

Sebelas lagi orang yang belum diberi vaksin, termasuk dua kanak-kanak yang tidak layak menerima vaksin, juga meninggal dunia akibat jangkitan virus maut itu, kata Dr Ooi.

Terdapat juga satu kematian yang mana mangsa mempunyai status “vaksinasi tidak lengkap”.

Mangsa warga asing itu hanya menerima satu dos vaksin Sinovac sebelum disahkan positif dan meninggal dunia akibat komplikasi yang dibawa oleh jangkitan itu.

Dr Ooi berkata, 85% daripada kematian adalah mangsa yang berumur lebih 60 tahun dan mempunyai sejarah komorbiditi.

Beliau berkata, berdasarkan statistik itu, Sarawak mencatat hanya 1.25 kematian bagi setiap 100,000 orang yang menerima dos penggalak berbanding 13.51 kematian bagi setiap 100,000 yang tidak mendapat dos penggalak.

Sehingga kini, 298,341 orang dijangkiti di negeri itu dan menyebabkan 1,690 kematian.

Di seluruh negara, jumlah kematian keseluruhan adalah 34,938 sehingga Khamis. – 2 April, 2022.

Iklan
Iklan