Iklan

Kabinet putuskan jika bentang RUU antilompat parti 11 April, kata menteri

Desmond Davidson3 years ago2nd Apr 2022Berita
Parliament 20170406 tmihasnoor 02  full  full
RUU antilompat parti amat dinanti-nantikan dan menjadi perhatian utama pembangkang Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2022.
Iklan

MEMANGGIL semula Parlimen bagi mesyuarat khas pada 11 April supaya rang undang-undang (RUU) antilompat parti boleh dibentangkan masih belum pasti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Beliau berkata, Kabinet hanya akan memutuskan tarikh itu pada mesyuarat mingguannya Rabu ini.

Walaupun beliau sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, beliau diberi jaminan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tarikh itu adalah 11 April, Wan Junaidi memberitahu pemberita di Kuching hari ini “ia masih tertakluk kepada kelulusan Kabinet”.

“Saya perlu membentangkannya pada mesyuarat itu. Jadi pada masa itu, saya perlu meyakinkan setiap orang.

“Jika ada bantahan mana-mana anggota Kabinet, maka terpulang kepada perdana menteri untuk membuat keputusan muktamad,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kaunter permohonan pinjaman Bank Rakyat untuk peniaga kecil di pusat khidmatnya.

Wan Junaidi berkata, beliau tidak boleh bercakap untuk “setiap orang” (anggota Kabinet) pada tarikh itu.

Setakat ini, beliau sudah “menyediakan segala-galanya” untuk mengadakan pembentangan pada 11 April.

Beliau berkata, beliau sudah memberitahu Parlimen dan meminta kebenaran untuk mengadakan mesyuarat khas itu.

“Dewan Rakyat memerlukan notis 14 hari. Jadi sebaik sahaja Kabinet membuat keputusan pada 6 April, ia boleh dibahaskan pada 11 April.”

RUU itu, yang akan menjadikan tindakan melompat dari satu parti ke parti lain menyalahi undang-undang dan secara automatik akan mencetuskan pilihan raya baharu, sepatutnya dibentangkan bulan lalu.

RUU itu amat dinanti-nantikan dan menjadi perhatian utama pembangkang Pakatan Harapan.

Kerajaan persekutuan pasca Pilihan Raya Umum 2018, PH tumbang susulan Langkah Sheraton. – 2 April, 2022.

Iklan
Iklan