Iklan

Kurang pekerja sukar untuk pantau jualan RON95 kepada warga asing, kata persatuan

Elill Easwaran3 years ago3rd Apr 2022Berita
49935006506 bd5bf084bc b
Pembukaan semula sempadan membolehkan warga Singapura mengisi minyak petrol di Johor dengan harga jauh lebih murah berbanding di republik itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2022.
Iklan

KEKURANGAN tenaga pekerja menyebabkan stesen minyak sukar untuk memantau dan menghentikan pembelian bahan api RON95 bersubsidi oleh warga asing, kata peniaga petrol hari ini.

“Hampir mustahil bagi juruwang kami untuk melihat nombor plat kereta atau pun petrol yang diisi oleh warga asing itu,” kata Presiden Persatuan Peniaga Petrol Malaysia (PDAM) Khairul Annuar Abdul Aziz kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa pada Jumaat juga menyaksikan peningkatan kereta berdaftar asing di stesen minyak, khususnya di Johor.

“Malah sebelum sempadan dibuka semula, kami mempunyai masalah kekurangan tenaga kerja dan kini dengan pembukaan sempadan dan lebih ramai pelanggan tiba, lebih sukar untuk dipantau.

“Jika pelanggan membayar secara tunai, sekurang-kurangnya lebih mudah juruwang memantau tetapi apabila mereka menggunakan kad kredit, lebih sukar untuk kita pantau,” katanya.

Khairul juga berkata, satu sistem pembayaran boleh diperkenalkan bagi mengelak pembelian menggunakan kad kredit asing untuk membeli bahan api RON95.

Beliau mencadangkan mungkin kerajaan boleh memperkenalkan teknologi seperti tag nano.

Hari ini bekas perdana menteri Najib Razak berkata, kenderaan berdaftar asing tidak boleh dibenarkan mengambil kesempatan daripada subsidi bahan api yang sepatutnya menjadi hak rakyat Malaysia.

Menurut Najib, pihak berkuasa dan syarikat bahan api mesti menghentikan penyalahgunaan ini, terutama ketika Malaysia membuka semula sempadannya pada Jumaat.

“Jika warga asing mengisi tangki dengan 40 liter RON95, kerajaan akan kerugian RM68.

“Dengan pembukaan semula sempadan kita, saya percaya pihak berkuasa dan stesen minyak akan memantau keadaan ini dengan ketat,” katanya dalam catatan Facebooknya, merujuk kepada imej tular seorang pemandu dari negara jiran mengisi kenderaan dengan RON95 di stesen minyak Malaysia.

RON95 dan diesel diberikan subsidi oleh kerajaan dengan masing-masing berharga RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Susulan subsidi itu, kenderaan asing tidak dibenarkan membeli RON95 atau diesel.

Bagaimanapun, tiada larangan untuk petrol RON97 kerana tiada subsidi.

Harga runcit bagi RON97 minggu ini adalah RM3.91.

Harga RON95 di Singapura adalah S$3.02 (RM9.37) seliter, manakala RON97 S$3.51. – 3 April, 2022.

Iklan
Iklan