Iklan

Bazar Ramadan di Kuala Terengganu, KL meriah biarpun harga makanan naik

Diyana Ibrahim3 years ago6th Apr 2022Berita
Bazar ramadan jalan raja alang tmi 003
Peniaga gembira sambutan pengunjung sama seperti sebelum pandemik Covid-19 dan semua barang habis dijual selama perniagaan beroperasi sejak hari pertama puasa Ahad lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2022.bar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2022.
Iklan

ORANG ramai sekurang-kurangnya di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur tetap mengunjungi bazar Ramadan biarpun harga jualan makanan dimasak mahal disebabkan kos bahan mentah yang meningkat, kata persatuan dan peniaga.

Mereka menyifatkan sambutan pengunjung sama seperti sebelum pandemik Covid-19 dan semua dagangan habis dijual selama perniagaan beroperasi sejak hari pertama puasa Ahad lalu.

Seorang peniaga ayam pusing madu di Kuala Terengganu, Abdul Wafi Zainuddin berkata pada awalnya agak bimbang tidak mendapat sambutan kerana terpaksa menaikkan harga juadahnya sebanyak RM27 bagi seekor ayam berbanding RM22 pada tahun lepas.

Namun kebimbangannya tidak lama, kata Abdul Wafi, melihatkan gerainya diserbu pelanggan dan juadah ayamnya habis terjual.

“Memang kami terpaksa naikkan harga sebab kos bahan mentah harga ayam ini naik, tahun lepas kita jual dalam RM22 jadi naik RM5.

“Disebabkan itu saya awal-awal lagi bersiap-sedia untuk tanggung risiko rugi tetapi alhamdullilah, setakat dua hari (Ahad dan Isnin) gerai kami diserbu ramai.

“Hari pertama puasa saja 70 ekor ayam ekor habis dijual dalam tempoh dua jam,” katanya yang membuka gerai di bazar Ramadan di Dataran Shahbandar.

Kelmarin, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengakui kerajaan sukar mengawal harga makanan siap dimasak yang dijual di bazar Ramadan kerana ia bukan barang kawalan.

Katanya, kerajaan pada dasarnya hanya boleh mengawal harga barang kawalan, misalnya ayam, telur dan minyak masak, tetapi bukan harga makanan yang sudah dimasak.

“Saya difahamkan tiada garis panduan bagi kawalan harga makanan bermasak, namun saya minta peniaga supaya tidak meletakkan harga yang melampau,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Sharin Darus berkata kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) berikutan Malaysia sedang beralih ke fasa endamik menyebabkan bazar Ramadan kembali meriah.

“Bila dah longgar SOP jadi orang ramai pun mula datang, sebab mereka tak perlu risau risiko penguatkuasaan, dan kita pun boleh buka banyak gerai 

“Tapi bagi pihak persatuan kita tetap juga pantau dan jaga SOP biarpun sudah ada kelonggaran,” katanya.

Menurut Shahrin, tahun ini pihaknya membuka 120 tapak gerai di bazar Ramadan  Jalan Raja Alang, antara yang paling lama di negara ini yang wujud sejak tahun 1960-an lagi.

Katanya, ia penambahan besar berbanding tahun lepas ketika pihaknya hanya dapat membuka 70 tapak gerai kerana mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengenai kenaikan harga juadah yang dijual, Shahrin berkata ia tidak menjadi isu kerana pihak persatuan mengenakan syarat kepada peniaga untuk tidak menaikkan harga terlalu tinggi sehingga membebankan pembeli.

“Ini memang syarat dari persatuan kita nak peniaga tak naik harga yang terlalu tinggi, kalau naik pun ia masih lagi yang boleh diterima pembeli.

“Sebab kita tak nak nanti persatuan berdepan isu yang peniaga di bazar cekik darah ambil kesempatan jual harga juadah mahal.

“Jadi berdasarkan tinjauan kami majoriti peniaga masih lagi kekal dengan harga lama, yang harga naik tak ramai sangat dan masih lagi boleh diterima pembeli,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga roti tempayan di Kuala Terengganu, Zainal Abdul Wahab, 52, mengaku enggan menaikkan harga kerana bimbang akan diboikot oleh pembeli.

Zainal tetap menjual roti tempayannya RM1 sekeping biarpun berdepan kos kenaikan bahan mentah sebanyak 50 peratus.

“Saya takut nak naik harga nanti pembeli saya akan lari kalau kita naik harga. Jadi saya dan keluarga putuskan saja untuk kekalkan harga roti sebanyak RM1 sahaja.

“Sebab itu nak tak saya terpaksa kecilkan saiz roti kalau untuk elak kerugian yang besar,” katanya.

Kerajaan membenarkan operasi penuh bazar Ramadan dengan memberi kelonggaran SOP pada tahun ini berbanding syarat ketat pada tahun lalu termasuk jumlah pengunjung yang kecil pada satu-satu masa. – 6 April, 2022.

Iklan
Iklan