Iklan

Kerajaan hadapi cabaran pastikan kumpulan B40 jalani saringan kesihatan

Desmond Davidson3 years ago9th Apr 2022Berita
Peka b40 fb
Peka B40 ialah inisiatif kerajaan yang bertujuan menyediakan penjagaan kesihatan kepada golongan berpendapatan rendah dengan memberi tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit. – Gambar Facebook, 9 April, 2022.
Iklan

SKIM Peduli Kesihatan Kementerian Kesihatan bagi Kumpulan B40 (Peka B40) memberi harapan baru kepada nenek Liew Nyuk Fah untuk menjalani pembedahan katarak kali kedua bagi menggantikan lensa yang dimilikinya selama 10 tahun.

Penduduk Kota Padawan, berusia 84 tahun, 16km dari Kuching, terpaksa menangguhkan rancangan untuk menukar kanta kerana kos.

Beliau membayar RM500 bagi prosedur katarak pertamanya di Hospital Umum Sarawak (GH) di Kuching tetapi kini boleh menjalani prosedur kedua secara percuma di bawah Peka B40 di klinik swasta berdekatan yang berdaftar dengan skim itu.

Liew juga menghidap osteoarthritis lutut dan berjalan dengan kesakitan dan kesukaran yang teruk.

Di bawah Peka B40 yang khusus untuk mereka berpendapatan rendah ini, Liew juga berkemungkinan layak menjalani pembedahan penggantian lutut kerana program itu memberikan maksimum sehinga RM20,000 untuk pembelian peralatan perubatan yang diperlukan dalam prosedur atau rawatan yang tidak mendapat subsidi di hospital kerajaan.

Tanpa program itu, Liew perlu membayar antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk pembedahan sebelah lutut di GH Sarawak. Kos akan lebih tinggi di hospital swasta.

Liew Nyuk Fah akan menjalani pembedahan katarak kali kedua di bawah skim Peka B40. – Gambar The Malaysian Insight, 8 April, 2022.Liew kurang berminat dengan pembedahan lutut kerana lebih mengutamakan matanya.

Bagaimanapun, skim itu memerlukan beliau menjalani pemeriksaan kesihatan, yang juga percuma. Apabila keputusan saringannya siap dalam seminggu atau dua minggu, Liew boleh pergi untuk rundingan lanjut sebelum memulakan prosedur mata.

Peka B40 ialah inisiatif kerajaan yang bertujuan menyediakan penjagaan kesihatan kepada golongan berpendapatan rendah dengan memberi tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit (NCD).

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, yang menguruskan skim Peka B40 bagi pihak Kementerian Kesihatan, semalam mengumumkan penyambungan semula program yang menyasarkan setengah juta rakyat Sarawak selepas terhenti selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Enggan jalani pemeriksaan kesihatan

Terdapat cabaran dalam capaian penduduk Sarawak yang layak dalam kumpulan B40, kerana mereka secara amnya terdiri daripada dua kumpulan yang berbeza, kata Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Dr Anas Alam Faizli.

Kumpulan pertama adalah seperti Liew yang tinggal di kawasan bandar dan tempat klinik berdaftar Peka B40 berada dalam jangkauannya.

Satu lagi adalah di luar bandar Sarawak yang mungkin tiada klinik sedemikian atau yang terdekat terlalu jauh.

Bagi mereka yang berada di lokasi sukar dijangkau, “kita perlu ke tempat itu”, kata Anas.

Beliau berkata lawatan bantuan biasanya dilakukan dengan kerjasama agensi kerajaan negeri dan persekutuan berkaitan, klinik yang mengambil bahagian dan kadangkala dengan organisasi masyarakat sivil, dianjurkan untuk pergi ke kawasan yang sukar dijangkau ini.

Sebelum sekatan pergerakan Covid-19, sebanyak 10 program sedemikian dianjurkan di negeri ini.

Ia menghasilkan maklum balas mengecewakan, kata Anas, walaupun ia memberi mereka petunjuk tentang perkara perlu dilakukan bagi pemeriksaan kesihatan akan datang.

Apa yang mengecewakan ialah peratusan kehadiran yang rendah, menyedarkan mereka ramai dalam kumpulan B40 tidak memahami keperluan melakukan pemeriksaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Dr Anas Alam Faizli berkata ramai dalam kalangan B40 tidak memahami kepentingan menjalani saringan awal penyakit. – Gambar The Malaysian Insight, 8 April, 2022.Walaupun mereka yang layak sudah dimaklumkan lebih awal mengenai ketibaan dan jadual pasukan, kebiasaannya separuh daripada mereka tidak akan datang, kata Anas.

“Kami dijanjikan 1,000 orang tetapi hanya 500 yang datang.”

“Mereka mempunyai mentaliti, ‘Mengapa datang ketika saya tidak sakit?’ dan mereka tidak memahami maksud pengesanan awal dan keperluan berbuat demikian. Mereka hanya akan datang jika betul-betul sakit.”

Peka B40 melihat ini sebagai satu cabaran.

“(Kita perlu memahamkan mereka) yang semua penyakit jika dikesan awal mempunyai peluang lebih baik untuk dirawat dan sembuh.”

Terdapat juga yang penduduk Melayu yang lebih suka berubat secara tradisional berbanding perubatan barat, katanya.

Keutamaan mencuba perubatan tradisional dahulu dan kemudian ke barat apabila rawatan tidak berkesan adalah persepsi yang juga perlu diubah, kata Anas.

Jika tidak, pesakit mungkin mendapati sudah terlambat untuk mendapatkan rawatan apabila bersedia untuk mencuba perubatan barat, tambahnya. – 9 April, 2022.

Iklan
Iklan