Iklan

Usah gopoh lulus RUU halang lompat parti, kata Hadi

Diyana Ibrahim3 years ago8th Apr 2022Berita
Abdul hadi awang
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pembentangan RUU antilompat parti tidak sengaja dilengah-lengahkan dan penangguhannya juga bukan masalah besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2022.
Iklan

KERAJAAN tidak perlu tergopoh-gapah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) menghalang lompat parti, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mahu cadangan tersebut dikaji lebih mendalam.

Beliau berkata PAS melihat pembentangan tersebut tidak sengaja dilengah-lengahkan dan penangguhannya juga bukan masalah besar.

“Memang undang-undang ini perlu kepada penelitian. Tak perlu gopoh. PAS pun tidak tergopoh-gapah dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas kuliahnya di Masjid Rusila, Marang.

Beliau juga menafikan parti Bersatu yang merupakan sekutu PAS dalam Perikatan Nasional (PN) cuba memboikot kerajaan dengan menolak RUU tersebut.

Ahli Parlimen Marang itu berkata Bersatu mempunyai alasan yang tersendiri tidak bersetuju dengan RUU tersebut kerana mu ngkin mahu kerajaan membuat pentaksiran lebih teliti berhubung soal itu.

“Tak timbul perasaan lengah-lengah Bersatu akan bincang dengan kita. Bukan Bersatu saja kerana Perikatan Nasional ni meliputi Bersatu termasuk Parti Sarawak, termasuklah rakyat di Sabah.”

RUU antilompat parti yang dijadual dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin depan ditangguh. – Gambar AFP, 8 April, 2022.

Tambahnya, sikap PAS untuk mengkaji RUU tersebut dengan lebih lanjut juga tidak bermakna parti Islam tersebut tidak setuju dengan pelaksanaannya.

Bahkan, PAS menyokong kuat cadangan undang-undang berkenaan dan turut menguatkuasakannya di Kelantan dengan kelulusan enakmen lompat parti pada 1991.

Bagaimanapun pada 1992 Mahkamah Persekutuan memutuskan keputusan DUN Kelantan meluluskan enakmen mengharamkan lompat parti adalah tidak berperlembagaan.

Tambahnya, masalah lompat parti itu dihadapi PAS sejak 1960-an lagi yang menyebabkan kerajaan negeri pimpinannya di Terengganu tumbang.

“Di Terengganu pada tahun 1960-an kerajaan kita jatuh sebab lompat parti jadi ia bukan baru.

“Dan kita tangani masalah ini dah lama. Dengan sebab itu PAS sebut dalam baiah sumpah, mana-mana wakil rakyat yang lompat parti wajib letak jawatan.

“Kalau tak letak jawatan dilaknat oleh Allah. Laknat oleh semua yang melaknat. Itu ada dalam baiah. Kita sebut. Kita dah lama menghadapi masalah ini,” katanya.

Beliau mengulas mengenai keputusan Kabinet menangguhkan RUU antilompat parti yang dijadualkan dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat 11 April.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penangguhan itu bagi kajian lanjut untuk memperkemaskan takrif “lompat parti”.

Bagaimanapun sidang khas Dewan Rakyat akan tetap diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memastikan RUU tersebut tidak melanggar perlembagaan, katanya.

Laporan akhbar pada minggu lalu mendakwa RUU itu tidak diluluskan di Kabinet kerana ditolak oleh Bersatu.

Dakwaan itu dinafikan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan semalam. – 8 April, 2022.     

Iklan
Iklan