Noh dakwa difitnah cuba pancing undi
Iklan
MENTERI Kesejahteraan Bandar dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar menafikan cuba memancing undi berikutan beberapa gambarnya sedang memegang dan mengagih duit kepada orang ramai di sebuah program tular beberapa hari lalu.
Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata beliau difitnah di media sosial oleh pihak yang tidak tahu mengenai objektif program tersebut iaitu Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia, yang diberi kepada 3.2 juta penerima.
Noh berkata bantuan itu diagihkan oleh Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
“Saya agak terkejut apabila orang yang membuat fitnah tersebut, mereka langsung tidak tahu apa yang kerajaan telah buat untuk rakyat.
“Program Bantuan Awal Persekolahan bukan perkara baru, ia sudah lama dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Bajet 2018 memperuntukkan RM328 juta untuk program bantuan persekolahan, iaitu setiap pelajar dari isi rumah berpendapatan rendah menerima RM100.
Gambar-gambar Noh sedang menghulur duit tersebar di media sosial dan menerima kritikan.
Seorang pengguna Facebook, dikenali sebagai Mat Yie telah mengongsikan gambar tersebut dengan menulis:“Dalam satu majlis Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Tanjung Karang, si Noh Omar bagi duit pada ibu bapa begitu saja, betulkan, itu cara professional?”
Sarazbeet Mohagani pula menulis: “Musim tabur duit.”
Mengulas mengenai perkara itu, Noh berkata menjadi kewajipannya sebagai Ahli Parlimen Tanjung Karang untuk turun di kawasannya dan memastikan segala bantuan daripada kerajaan disalurkan terus kepada rakyat.
“Salah ke saya turun di kawasan saya, memang saya kalau mesyuarat PIBG di Tanjung Karang mana-mana sekolah saya akan turun sendiri kadang itu sampai tiga program dalam sehari.
“Dan saya terus bagi kepada ibu bapa semasa program PIBG sebab ia lebih memudahkan daripada nak mereka datang kepada kita.”
Pengarah badan pemantau anti rasuah, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel berkata walaupun ia mungkin untuk tujuan yang sah, namun salah untuk beri duit yang banyak kepada rakyat begitu sahaja.
“Ia dilakukan secara terang-terangan. Ini contoh bagus kepada apa yang kita bimbangkan - pengagihan (duit, hadiah).
“Dah tentu Noh Omar kata itu sebahagian daripada program kerajaan, tetapi ia boleh dipersoalkan, cara dia memegang duit dan agihnya kepada orang ramai,” katanya.
Kata-kata Cynthia itu dipersetujui Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan berkata bantuan sepatutnya diberi melalui saluran yang betul.
“Saya tak bantah program itu, tetapi cara mereka melakukannya memang melanggar integriti.
“Noh telah melanggar batasan seorang menteri, dan ini nak dekat pilihan raya. Jadi, ia beri persepsi yang dia cuba pancing undi. Saya harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan hentikan agihan duit seperti ini menjelang pilihan raya.
“Dia seorang menteri dan tak ada kena mengena dengan pendidikan. Mengagih duit yang banyak menjejas kedudukannya sebagai menteri,” kata Maria sambil menambah bantuan itu boleh disalurkan melalui pihak sekolah.
Cynthia berkata C4 juga bimbang amalan sama akan menjadi semakin berleluasa menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Katanya, rakyat Malaysia sudahpun kecewa apabila apabila Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan bekas kerani bank didakwa melanggar undang-undang perbankan dan kerahsiaan dalam kes National Feedlot Corporation (NFC).
“Selepas kes Rafizi, ramai orang bertanya, apa perlunya buat laporan? Tetapi jika kita tak lapor (kesalahan), ini bermakna kita tewas dalam menentang rasuah.
“Sebagai rakyat mempunyai tanggungjawab untuk melapor kesalahan dan menjadi tanggungjawab agensi penguatkuasaan untuk menyiasat. Jika tiada kes, maka tiada kes; kalau ada, mereka kena buka fail siasatan,” katanya. Beliau juga berkata C4 hari ini akna bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk meneyerahkan laporan mengenai peranan dan fungi agensi itu dalam menangani amalan rasuah pada pilihan raya.
Cynthia menggesa SPR dan SPRM supaya serius dan menyelaraskan usaha untuk meneliti arahan bertindih dalam menangani kes-kes politik wang.
“Kami ada buat kajian mengenai arahan undang-undang SPR dan SPRM dan kami dapati kedua-duanya mempunyai bidang kuasa untuk tangani aduan pilihan raya. Tetapi, SPRM ialah sebuah badan penguatkuasaan undang-undang yang lebih besar, yang ada kuasa untuk membuka kertas siasatan, mengemukakan pertuduhan.” – 12 Februari, 2018.