Iklan

Kenderaan asing dilarang isi RON95, kata menteri

Elill Easwaran3 years ago13th Apr 2022Berita
Minyok
Kenderaan bernombor pendaftaran asing hanya dibenarkan mengisi minyak RON97 di stesen minyak di seluruh negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2022.
Iklan

PENGUATKUASAAN yang lebih ketat akan dikenakan terhadap kenderaan bernombor pendaftaran asing, termasuk motosikal, yang mengisi petrol RON95 bersubsidi di seluruh negara, kata menteri Alexander Nanta Linggi hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam satu kenyataan berkata semua kenderaan berdaftar asing tidak dibenarkan mengisi petrol RON95.

“Bagaimanapun, kenderaan seperti itu dibenarkan mengisi minyak RON97 di stesen minyak di seluruh negara,” katanya.

Tambahnya, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia telah menyatakan sokongan dan komitmen untuk memastikan semua stesen minyak di Malaysia mematuhi larangan tersebut.

“Seramai 2,200 pegawai penguat kuasa kementerian digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan di seluruh negara terhadap pengusaha yang cuba melanggar larangan tersebut.

“Bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan ini, pegawai penguat kuasa kementerian akan menggunakan pendekatan Ops Samar dengan memakai pakaian awam dalam melaksanakan penguatkuasaan ini,” kata Nanta.

Undang-undang menetapkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi individu yang melanggar larangan itu. Bagi kesalahan berikutnya, individu akan berdepan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat, denda tidak melebihi RM2 juta akan dikenakan jika melanggar larangan tersebut manakala bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta.

Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak terbabit sehingga siasatan selesai.

Awal bulan ini, bekas perdana menteri Najib Razak berkata pemilik kenderaan bernombod pendaftaran asing tidak boleh dibenarkan mengambil kesempatan daripada subsidi bahan api yang sepatutnya untuk rakyat Malaysia.

Menurut Najib, pihak berkuasa dan syarikat bahan api mesti menghentikan penyalahgunaan ini, terutama ketika Malaysia membuka semula sempadannya pada 1 April.

“Jika warga asing mengisi tangkinya dengan 40 liter RON95, kerajaan akan kerugian RM68.

“Dengan pembukaan semula sempadan kita, saya percaya pihak berkuasa dan stesen minyak akan memantau keadaan ini dengan ketat,” katanya dalam catatan Facebooknya, merujuk kepada imej tular seorang pemandu dari negara jiran mengisi kenderaan dengan RON95 di sebuah stesen minyak Malaysia.

Sementara itu Presiden Persatuan Peniaga Petrol Malaysia Khairul Annuar Abdul Aziz memberitahu The Malaysian Insight kekurangan tenaga kerja menyukarkan stesen minyak untuk memantau dan menghentikan pembelian bahan api RON95 bersubsidi oleh warga asing.

“Hampir mustahil bagi juruwang kami untuk melihat nombor plat kereta itu atau pun petrol yang diisi warga asing itu,” katanya.

Harga RON95 di Singapura ialah S$3.02 (RM9.37) seliter manakala RON97 ialah S$3.51. – 13 April, 2022.

Iklan
Iklan