Iklan

Syarat kemasukan untuk warga asing terlalu tegar, kata menteri Sarawak

Desmond Davidson3 years ago14th Apr 2022Berita
49935157382 f78d1d54fc o (1)
SOP Covid-19 untuk kemasukan pelancong asing ke negara ini terlalu tegar, kata Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Hamzah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2022.
Iklan

MENTERI pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak mendakwa prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan terhadap warga asing masuk ke negara ini terlalu tegar.

Abdul Karim Hamzah berkata warga asing kini lebih mudah untuk masuk ke Australia berbanding Malaysia, walaupun negara itu antara yang terawal di dunia memperkenalkan peraturan ketat kemasukan ke negaranya ketika pandemik Covid-19.

“Australia, New Zealand, mereka lebih fleksibel berbanding kita. Lebih mudah pergi Australia daripada datang ke Malaysia.”

Karim berkata beliau bimbang syarat kemasukan ketat terhadap warga asing akan menjejaskan Festival Muzik Rainforest (RWMF) di negeri itu pada Jun dan melembabkan proses pemulihan industri pelancongan negeri.

Katanya, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan jawatankuasa pengurusan bencana Sarawak perlu “buka mata” dan lihat apa yang negara lain buat ketika peralihan ke fasa endemik.

“Malaysia terlalu tegar dalam perkara ini.”

Beliau berkata banyak negara yang sudah menarik balik arahan wajib memakai pelitup muka di tempat awam.

“Di UK (United Kingdom), Singapura, mereka tidak perlu lagi memakai pelitup muka.”

Bagaimanapun, Karim berkata peminat festival muzik yang akan berlangsung dari 17-19 Jun tidak perlu bimbang kerana kementeriannya dan penganjur akan memastikan semua garis panduan ditetapkan MKN dipatuhi.

Katanya, beliau menjangkakan dalam tempoh dua bulan akan datang, syarat kemasukan kepada warga asing akan dilonggarkan lagi, memudahkan untuk mereka masuk ke Malaysia.

Pada masa ini, warga asing hanya perlu menunjukkan bukti merkea negatif Covid-19 untuk masuk ke Sarawak, dan ujian saringan RT-PCR perlu diambil tiga hari sebelum masuk.

Ketika tiba di negeri ini, mereka akan mengambil satu lagi ujian saringan iaitu RTK antigen yang akan dikendalikan oleh pegawai perubatan.

Ujian itu langkah pertama menentukan sama ada mereka ada jangkitan koronavirus yang aktif atau tidak. Kos ujian itu akan ditanggung oleh individu.

Jika disahkan positif, mereka akan dibawa ke hotel kuarantin dan menanggung bil sepanjang berada di sana hingga dipastikan bebas virus itu. – 14 April, 2022.

Iklan
Iklan