Iklan

Adakah Umno sudah pulih?

Chan Kok Leong3 years ago16th Apr 2022Berita
Umno tmi 02 iftar
Pengumuman Umno bagi calon perdana menteri pada PRU15 menandakan 'gencatan senjata' politik antara presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan naibnya Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2022.
Iklan

SELEPAS dua tahun berehat, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kini meriah semula pada malam Khamis apabila Umno menganjurkan majlis buka puasa pertamanya sejak pandemik Covid-19 merencatkan banyak aktiviti parti itu.

Anak-anak yatim dilayan, pemimpin bahagian juga diraikan malah ramai pemimpin majlis tertinggi parti bergaul bebas walau dengan peraturan pemakaian pelitup muka.

Walau tiada ucapan panjang, kenyataan ringkas Umno selepas mesyuarat majlis tertingginya menarik perhatian semua orang dan sekali lagi mencetuskan suasana heboh.

Dalam kenyataan empat perenggan itu, Umno mengumumkan tiga perkara penting.

Pertama, ia akan mencalonkan naib presiden Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Parti itu juga umum akan mengadakan perhimpunan agung Umno khas bagi meminda Perlembagaannya pada 14 Mei, seminggu selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

Ia juga menyeru kerajaan agar tidak melanjutkan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH).

Daripada tiga perkara itu, pengumuman mengenai Ismail Sabri paling menarik perhatian semua pihak kerana ia menandakan perdana menteri sudah mencapai “gencatan senjata” politik dengan presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Hanya lapan bulan sebelum itu, Ismail Sabri telah mengetepikan Zahid dengan mengetuai 31 ahli Parlimen Barisan Nasional untuk menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Segalanya sudah baik?

Jadi, adakah ini bermakna Umno kembali bersatu semula?

“Ia adalah satu kompromi dan cara untuk menenangkan Ismail Sabri mengenai tuntutan Umno untuk pilihan raya awal,” kata Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia.

Menurut Mazlan, ini berbeza dengan apa yang dilihat pada Perhimpunan Agung Umno 2021 (PAU 2021) bulan lepas apabila Ismail Sabri menumpukan perhatian kepada isu kerajaan dan bukannya parti.

“Dalam hal ini, Ismail Sabri merayu kepada akar umbi untuk menyokong pentadbirannya. Oleh itu, beliau menyukarkan Zahid untuk memaksanya membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum awal,” kata pakar sains politik itu.

Bagi mengatasinya, Mazlan berkata Zahid terpaksa menyatukan semula puaknya dengan Ismail Sabri sebelum mendesak pilihan raya umum awal.

“Pengumuman itu ditujukan kepada perkara ini.”

Bagaimanapun Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyatakan ini hanyalah permulaan dan bukan penamat kepada isu perpaduan Umno.

“Menarik untuk lihat apa yang berlaku seterusnya jika Zahid dan timbalan presiden Mohamad Hasan turut menang kerusi Parlimen pada PRU15. Walaupun Zahid menolak untuk tidak menjadi perdana menteri lagi, Mohamad masih lebih kanan berbanding Ismail Sabri dalam parti.

“Selepas apa yang berlaku pada pilihan raya negeri Johor, saya rasa pencalonan awal seperti itu tidak ada kaitan dengan pemilihan akhir,” kata pensyarah sains politik itu.

Selepas pilihan raya Johor, Adun Machap Onn Hafiz Ghazi dilantik sebagai menteri besar walaupun BN pada mulanya mencalonkan penyandang Hasni Mohammad untuk jawatan itu.

Bagaimana pula dengan Perikatan Nasional?

Yang lebih menarik, kata Mazlan, adalah apa yang akan berlaku terhadap hubungan Ismail Sabri dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

“Ini akan mendorong Muhyiddin untuk bekerja lebih keras bagi mendapatkan kerjasama dengan pihak lain,” kata Mazlan.

“Sebenarnya, Muhyiddin telah pun bertemu Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim. Perkembangan baharu ini, yang menyaksikan Umno semakin rapat, hanya akan memaksa Muhyiddin menggandakan usahanya, khususnya dengan PH.”

Mazlan berkata ini akan memihak kepada Zahid kerana puaknya mahukan pilihan raya umum awal.

“Ia hanya akan lebih menguntungkan Zahid jika Muhyiddin dan PN memutuskan untuk menarik balik sokongan mereka terhadap Ismail Sabri.

“Sebab jika mereka buat, Ismail Sabri tidak ada pilihan selain membubarkan Parlimen lebih awal,” kata Mazlan. – 16 April, 2022.

Iklan
Iklan